Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan lupakan sejarah penderitaan Palestin – Dr Wan Azizah

PETALING JAYA, 10 FEB: Ketidakadilan, keganasan dan penindasan tidak ada tempat dalam tamadun moden dan generasi masa kini serta masa hadapan perlu komited, dalam menjadikan dunia ini sebagai sebuah tempat yang lebih baik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, berkaitan Palestin, Malaysia sentiasa menganggap Palestin dan rakyatnya seperti rakyat sendiri, dan telah memberikan bantuan berterusan dalam pelbagai bentuk kepada Palestin sejak Malaysia merdeka.

“Ada masanya, kami rasa tidak berdaya apabila melihat kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Persidangan ini bertindak sebagai satu platfom untuk kita semua bersama-sama dan membincangkan serta merangka satu pelan yang praktikal dan strategik.

“Ia juga membantu kami menggerakkan bantuan, dan sokongan daripada orang ramai, institusi dan kerajaan di seluruh dunia, untuk membawa keamanan dan keadilan kepada Palestin,” kata Dr Wan Azizahpada Persidangan Liga Ahli Parlimen Antarabangsa Al-Quds (LP4Q) kali ketiga di sini semalam.

Dr Wan Azizah menyatakan antara mereka yang paling lantang dalam mengkritik Israel adalah dalam kalangan orang Yahudi sendiri.

“Ini termasuklah saintis Albert Einstein, ahli akademik Noam Chomsky dan penulis Alfred Lilienthal. Antara aktivis yang mengerakkan ‘Women Boat for Gaza, termasuklah Zohar Regev dan Yudit Ilany yang adalah rakyat Israel.

Wan Azizah turut menceritakan pengalaman bertemu Zohar Regev, rakyat Israel yang menyertai Boat for Gaza dan sebelum ditahan pihak berkuasa Israel.

“Kita boleh lihat isu Palestin bukanlah hanya isu seorang Palestin atau Arab, tetapi telah menjadi satu usaha yang dijuarai dan sokong oleh masyarakat yang mempunyai kesedaran,” tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam negara-negara menggerakkan usaha ini untuk membawa keadilan kepada Palestin, amat penting sekali generasi muda tidak lupakan penderitaan yang menimpa rakyat Palestin.

“Satu usaha boleh hilang momentumnya apabila generasi muda tidak faham kenapa dan bagaimana ia bermula.

“Mungkin telah tiba masanya kita memperingati apa yang berlaku kepada Palestin dengan menubuhkan sebuah muzium An Nakba.

Beliau berkata muzium itu akan memberikan kefahaman kepada orang ramai sisi buruk sikap manusia dan kepentingan untuk tidak membenarkan ketidakadilan, berulang pada masa hadapan.

“Selain mendidik masyarakat mengenai Palestin, ia juga akan mendidik kita mengenai tragedi seperti ketika Perang Bosnia, genosida Bosnia, genosida Rwanda, pembunuhan beramai-ramai Sook Ching dan Rabaa dan tragedi-tragedi lain yang telah berlaku tidak berapa lama dahulu.

Persidangan dua hari bermula semalam dianjurkan LP4Q di bawah naungan Parlimen Malaysia, dengan sokongan beberapa pertubuhan masyarakat sivil termasuklah Pergerakan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).

Malaysia telah diberikan penghormatan menjadi tuan rumah persidangan kali ini buat pertama kali, selepas dua persidangan sebelum ini diadakan di Istanbul, Turki pada 2016 dan 2018.

– BERNAMA