Categories
SUKANKINI

LTdL 2020: Pelumba Perancis menang perlumbaan klasik

LANGKAWI, 15 FEB: Pelumba Perancis Johan Le Bon dari pasukan B&B Hotel Vital Concept berjaya mengatasi saingan hebat daripada pelumba lain di garisan penamat untuk memenangi Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia, sejauh 159 kilometer di Kuah di sini hari ini.

Juara perlumbaan lebuh raya remaja dunia 2008 itu mengalahkan pelumba dari Australia Jesse Ewart (Team Sapura Cycling) dan rakan senegara Lucas De Rossi (Nippo Delko One) pada acara perlumbaan yang berlangsung selepas Le Tour de Langkawi 2020.

Kemenangan itu membolehkan, Le Bon membawa pulang RM10,000 serta 125 mata ranking dunia UCI, manakala Ewart di tempat kedua memenangi RM5,500 dan 85 mata dan De Rossi di tempat ketiga (RM3,000 dan 70 mata).

Raja Bukit LTdL 2020 Muhamad Nur Aiman Zariff, berjaya membuktikan keunggulannya apabila memenangi anugerah ‘Pendaki Terbaik’ dengan mengutip 11 mata dan membawa pulang RM1,000.

Bercakap pada sidang media selepas perlumbaan, Le Bon, 29, gembira atas kemenangan pertamanya musim ini, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan beliau sejak kali terakhir memenangi pra-perlumbaan di kejohanan Tour de l’Ain di negaranya pada 2017.

“Saya agak penat kerana ia satu perlumbaan yang sukar dan juga kerana kami baru sahaja menamatkan LTdL, semalam, semua orang agak penat. Tetapi saya memecut di peringkat akhir bersama pelumba Sapura (Ewart) dan rancangannya hanya untuk berada di hadapan kumpulan mengejar dan kami berjaya lakukannya,” kata Le Bon.

Beliau juga berkemungkinan untuk kembali menyertai LTdL pada masa hadapan selepas meraikan kejayaannya dalam penyertaan kali pertamanya itu.

Berkongsi perasaan yang sama, Ewart berasa agak gembira dengan keputusan hari ini, walaupun telah diatasi Le Bon di garisan penamat, walaupun pelumba-pelumba Sapura mendominasi kumpulan hadapan pada perlumbaan sehari ini.

“Ia oklah, kami cuba jadikan perlumbaan ini sukar. Tetapi pada pendakian terakhir kami nampak peluang untuk memecut, tetapi beliau ada sedikit kelebihan,” kata pelumba berusia 25 tahun yang menamatkan perlumbaan Jayco Herald Sun Tour, awal bulan ini di negaranya.

Muhamad Nur Aiman, 22, turut berkongsi kegembiraan setelah mengungguli gelaran raja bukit pada perlumbaan sehari berkenaan, yang merupakan kemenangan kedua setelah meraih jersi merah atau raja bukit pada saingan LTdL, semalam.

“Aiman gembira dapat meneruskan kemenangan pada hari ini, selepas menang jersi merah dalam perlumbaan LTdL, semalam.

“Untuk strategi perlumbaan hari ini, Aiman sentiasa cuba berada dalam kelompok hadapan, dan apabila menghampiri KOM (zon pendakian), Aiman cuba meraih mata dan Aiman gembira dapat mengutip mata untuk perlumbaan ini,” jelas anak jati Setiu, Terengganu itu.

– BERNAMA