Categories
SUKANKINI

LTdL 2020: Pelumba Perancis menang perlumbaan klasik

LANGKAWI, 15 FEB: Pelumba Perancis Johan Le Bon dari pasukan B&B Hotel Vital Concept berjaya mengatasi saingan hebat daripada pelumba lain di garisan penamat untuk memenangi Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia, sejauh 159 kilometer di Kuah di sini hari ini.

Juara perlumbaan lebuh raya remaja dunia 2008 itu mengalahkan pelumba dari Australia Jesse Ewart (Team Sapura Cycling) dan rakan senegara Lucas De Rossi (Nippo Delko One) pada acara perlumbaan yang berlangsung selepas Le Tour de Langkawi 2020.

Kemenangan itu membolehkan, Le Bon membawa pulang RM10,000 serta 125 mata ranking dunia UCI, manakala Ewart di tempat kedua memenangi RM5,500 dan 85 mata dan De Rossi di tempat ketiga (RM3,000 dan 70 mata).

Raja Bukit LTdL 2020 Muhamad Nur Aiman Zariff, berjaya membuktikan keunggulannya apabila memenangi anugerah ‘Pendaki Terbaik’ dengan mengutip 11 mata dan membawa pulang RM1,000.

Bercakap pada sidang media selepas perlumbaan, Le Bon, 29, gembira atas kemenangan pertamanya musim ini, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan beliau sejak kali terakhir memenangi pra-perlumbaan di kejohanan Tour de l’Ain di negaranya pada 2017.

“Saya agak penat kerana ia satu perlumbaan yang sukar dan juga kerana kami baru sahaja menamatkan LTdL, semalam, semua orang agak penat. Tetapi saya memecut di peringkat akhir bersama pelumba Sapura (Ewart) dan rancangannya hanya untuk berada di hadapan kumpulan mengejar dan kami berjaya lakukannya,” kata Le Bon.

Beliau juga berkemungkinan untuk kembali menyertai LTdL pada masa hadapan selepas meraikan kejayaannya dalam penyertaan kali pertamanya itu.

Berkongsi perasaan yang sama, Ewart berasa agak gembira dengan keputusan hari ini, walaupun telah diatasi Le Bon di garisan penamat, walaupun pelumba-pelumba Sapura mendominasi kumpulan hadapan pada perlumbaan sehari ini.

“Ia oklah, kami cuba jadikan perlumbaan ini sukar. Tetapi pada pendakian terakhir kami nampak peluang untuk memecut, tetapi beliau ada sedikit kelebihan,” kata pelumba berusia 25 tahun yang menamatkan perlumbaan Jayco Herald Sun Tour, awal bulan ini di negaranya.

Muhamad Nur Aiman, 22, turut berkongsi kegembiraan setelah mengungguli gelaran raja bukit pada perlumbaan sehari berkenaan, yang merupakan kemenangan kedua setelah meraih jersi merah atau raja bukit pada saingan LTdL, semalam.

“Aiman gembira dapat meneruskan kemenangan pada hari ini, selepas menang jersi merah dalam perlumbaan LTdL, semalam.

“Untuk strategi perlumbaan hari ini, Aiman sentiasa cuba berada dalam kelompok hadapan, dan apabila menghampiri KOM (zon pendakian), Aiman cuba meraih mata dan Aiman gembira dapat mengutip mata untuk perlumbaan ini,” jelas anak jati Setiu, Terengganu itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM mahu pelumba basikal negara bersaing pada Tour de France

LANGKAWI, 14 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan keyakinan pelumba basikal negara mampu bersaing pada kejohanan utama dunia termasuk Tour de France.

Beliau berkata kejayaan yang dicapai pelumba negara pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 membuktikan rakyat negara ini memiliki kebolehan tersebut.

“Tahun ini merupakan penganjuran kali ke-25 LTdL, pelumbaan basikal peringkat tertinggi di negara ini. Saya lihat bahawa buat kali pertama seorang pelumba dari Malaysia memakai jersi merah (Raja Bukit).

“Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai kebolehan yang penting, latih diri sepanjang masa hingga perlumbaan seterusnya, saya harap mereka (pelumba basikal negara) akan dapat mencapai kejayaan yang lebih daripada hari ini hingga menjadi juara bertaraf dunia dan akan bertanding dalam Tour de France dan perlumbaan lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sidang media selepas berakhirnya perlumbaan Peringkat Kelapan LTdL di Pekan Kuah di sini hari ini.

Pelumba Malaysia Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dari Team Sapura Cycling, dinobatkan sebagai Raja Bukit (Jersi Merah).

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau berharap LTdL akan diteruskan pada masa depan kerana perlumbaan tersebut mendapat liputan meluas di seluruh dunia.

“Satu dari sebab kita mengadakan LTdL ialah semasa perlumbaan diadakan, stesen televisyen di banyak negara akan memberi liputan. Mereka di negara itu akan dapat lihat seluruh negara kita dari Sabah, Sarawak, Terengganu dan lain-lain negara ini ialah satu pengiklanan yang baik untuk menarik pelancong ke Malaysia,” katanya.

Menurutnya menerusi penganjuran perlumbaan basikal LTdl bertaraf dunia, Malaysia mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

“Tahun ini ialah Tahun Melawat Malaysia 2020 kita harap ramai akan datang ke negara ini tetapi kita hadapi masalah dengan penularan virus epidemik koronavirus 2019 (Covid-19). Kita sekarang akan tumpu menarik pelancong dari negara Barat, Asia Tengah dan Amerika jika dapat.

“Kita juga akan galakkan pelancongan dalam negara kerana mereka yang ingin pergi ke China, Jepun, Korea dan sebagainya tidak dapat pergi dan mereka dapat melancong dalam negara dengan itu hotel-hotel kita pun akan maju juga,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

LTdl: Saingan sengit tiga pasukan Itali

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Tiga pasukan berstatus Pro Continental dari Itali dijangka mempamerkan perlumbaan yang sengit pada edisi ke-25 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) bermula 6 hingga 15 Februari.

Ini kerana ketiga-tiga pasukan itu – Androni Giocatolli-Sidermec, Bardiani CSF Faizane dan Vini Zabu KTM (sebelum ini dikenali sebagai Neri Sottoli-Selle Italia) – mendapat slot wildcard untuk bersaing dalam perlumbaan Grand Tour, Giro d’Italia 2020 dijadual pada 9 hingga 31 Mei.

Bagaimanapun, kemasukan wildcard itu secara bersyarat iaitu setiap pasukan mesti berjaya meyakinkan penganjur bahawa mereka memiliki kehebatan dan keupayaan untuk berlumba dengan pasukan World Tour di Giro, termasuk penilaian pada perlumbaan UCI ProSeries, LTdL 2020.

“Dengan slot wildcard Giro yang dipertaruhkan, ketiga-tiga pasukan Itali pasti akan memberikan yang terbaik untuk meyakinkan penganjur Giro dan menjangkakan saingan sengit antara ketiga-tiga pasukan untuk membuktikan kehebatan mereka,” menurut penganjur Human Voyage (M) Sdn Bhd dalam kenyataan.

LTdL 2020 melibatkan lapan peringkat perlumbaan, bermula di Kuching dan berakhir di Langkawi, selain dua perlumbaan tambahan, Kota Kinabalu International Criterion pada 6 Feb dan Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia di Langkawi pada 15 Feb.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LTdL cetus budaya berbasikal di Malaysia – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Perlumbaan jelajah berbasikal tertua Asia Le Tour de Langkawi (LTdL) terbukti telah mencetuskan budaya berbasikal di Malaysia.

Ia bukan sahaja berjaya melahirkan atlet berbasikal bertaraf profesional dan antarabangsa malah telah berjaya membudayakan basikal secara keseluruhannya.

Perkara ini diakui Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi penganjuran program Junior Cycling Malaysia (JCM) serta pembinaan sebuah lagi velodrom di Terengganu.

“LTdL telah menjadi pencetus budaya berbasikal di Malaysia bukan sahaja bagi atlet berprestasi tinggi tapi juga membudayakan basikal secara keseluruhan. Kita sudah ada JCM untuk mendidik anak-anak kita yang akhirnya nanti akan berpeluang mewakili Malaysia pada masa akan datang.

“Pada awal tahun depan kita akan mula membina velodrom di Dungun untuk memastikan sukan berbasikal dapat dirancakkan lagi supaya lebih ramai rakyat Malaysia melibatkan diri dalam sukan berbasikal ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi Petronas LTdL 2020.

Menurut Syed Saddiq lagi, dengan kembalinya LTdL ke Sabah dan Sarawak selepas kali terakhir pada 1997, ia bukan sahaja memberi peluang kepada peminat sukan berbasikal menikmati kemeriahan acara tetapi pada masa sama membantu menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

LTdL yang dinaik taraf kepada Siri Profesional (ProSeries) menampilkan empat tahap perlumbaan dijadualkan berlangsung dari 7 sehingga 14 Feb, meliputi jarak 1,095.7km melintasi laluan di Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang serta Kedah.

Bagi edisi 2020, penganjurnya Human Voyage menjanjikan keunikan dengan kemasukan semula Sabah dan Sarawak serta pengenalan dua pra dan post perlumbaan iaitu Criterium International dan Malaysia Classic.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

LTDL ‘hidup semula’, publisiti cukup baik kepada Malaysia

LANGKAWI, 13 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan kemeriahan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) ‘hidup semula’ selepas kelihatan malap dalam beberapa edisi lepas.

Beliau berkata, sepanjang lapan hari perlumbaan tersebut, liputan media termasuk menerusi siaran televisyen juga telah memberi publisiti cukup baik kepada Malaysia.

“Saya nampak (kemeriahan) hidup semula, dulu menjadi malap, agak terhad hari perlumbaan pun dikurangkan namun kali ini kita dapati sepanjang lapan hari perlumbaan, ramai orang keluar untuk melihat perlumbaan ini.

“Perlumbaan berbasikal ini lebih menguntungkan kerana kita mengadakan perlumbaan selama lapan hari, bukan berlumba di satu tempat tetapi di seluruh Malaysia. Liputan menerusi televisyen cukup baik, sehingga pada masa mereka berlumba di Genting Highlands dikatakan 400 juta orang melihat perlumbaan tersebut, ini memberi publisiti cukup baik kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang LTdL 2019 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mengulas mengenai prestasi pelumba negara pada LTdL 2019, Dr Mahathir berkata, berdasarkan keputusan yang dicapai, kebolehan rakyat Malaysia dalam sukan berbasikal sudah mula menyerlah.

“Pada mulanya memang pasukan kita tidak ada langsung, tetapi lama kelamaan kita dapat latih dan sekarang ini mereka berjaya dalam perlumbaan ini. Hari ini kita lihat ada pasukan Malaysia (Team Sapura Cycling) yang dapat jersi Kuning, ini bermakna kebolehan sudah ada kepada rakyat Malaysia jadi kita harap sukan berbasikal ini akan dituruti dengan seluruh rakyat kerana ini adalah satu jenis sukan yang baik untuk kita,” katanya.

Ketika diminta mengulas kejayaan Langkawi menganjurkan peringkat ketujuh dan kelapan sepanjang LTdL 2019, Dr Mahathir berkata pulau peranginan ini memang memiliki potensi sebagai pusat riadah sukan berbasikal.

“Langkawi memang dijadikan pulau peranginan tetapi pada masa yang sama kita ingin lihat pulau ini menjadi satu pusat riadah yang mana tumpuan ialah kepada berbasikal dan saya yakin kita akan dapat melatih para pelumba basikal kita sehingga mereka juga menjadi juara di dunia,” katanya.

Menjawab soalan sama ada peringkat pertama LTdL tahun depan akan bermula di Langkawi, Dr Mahathir berkata perkara tersebut boleh dilaksanakan namun terpulang kepada sokongan daripada pihak penganjur.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor sedia anjur LTdL peringkat akhir tahun hadapan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 APR: Selangor bersedia menjadi tuan rumah bagi peringkat akhir kejohanan jelajah berbasikal antarabangsa, Le Tour De Langkawi (LTdL) pada tahun hadapan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, penganjuran peringkat akhir LTdL di Selangor mampu memberi impak kepada pelbagai sektor di negeri itu.

“Terima kasih kepada penganjur, Human Voyage, Jabatan Belia dan Sukan yang bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) yang menjadikan Shah Alam tempat pelepasan LTDL yang merupakan cukup dikenali di peringkat dunia.

“Apa yang kita harapkan pada tahun akan datang rakyat memberikan sokongan kepada program ini dan insha allah kita akan mohon jadi sebagai tempat penamat bagi tahun akan datang.

“Saya mahu tahun hadapan kita buat lebih teliti dan kemas dengan meminta peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri supaya lebih ramai hadir program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta perlumbaan jelajah LTdL peringkat keempat dari Shah Alam ke Genting Highland di Dataran Kemerdekaan di sini, hari ini.

Katanya, LTdL mampu membantu mempromosi Selangor dan Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi negeri dan negara.

“Selain itu, ini menjadi galakkan kepada generasi muda terlibat aktif dalam sukan basikal kerana apabila Kerajaan Negeri sendiri menganjurkan menunjukkan pengiktirafan kepada sukan ini.

“Ini akan mendorong lebih banyak penganjuran sukan berbasikal seperti ‘mountain bike’ dan lain-lain,” katanya.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Khairuddin lepaskan 121 pelumba LTdL Shah Alam-Genting Highland

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 APR: Mohd Khairuddin Othman menyempurnakan pelepasan 121 peserta Le Tour De Langkawi (LTdL) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan bakal berakhir di Genting Highland hari ini.

Upacara pelepasan peserta jelajah lumba basikal antarabangsa oleh EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan turut dihadiri Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman.

Peserta daripada 22 pasukan itu merupakan pelumba daripada Eropah, Amerika Utara, Asia Timur dan Asia Tenggara.

Sementara itu, Malaysia sendiri diwakili tiga pasukan iaitu Team Sapura Cycling (TSC), Terengganu Cycling Team (TSG) dan pasukan kebangsaan sendiri.

Peserta akan berkayuh sejauh 115.6 kilometer melalui beberapa jalan utama seperti Persiaran Damai, Persiaran Masjid, Persiaran Kayangan, Persiaran Hishamuddin, Persiaran Sukan dan Lebuhraya Guthtrie.

Jalan lain yang turut terlibat adalah Jalan Subang, Persiaran Mokhtar Dahari, Alam Budiman, Jalan Bukit Cherakah, Puncak Alam, Desa Coafield, Sungai Buloh, Kepong, MRR2, Batu Caves, Medan Batu Caves, Sungai Tua, Kampung Pasir, Hulu Yam Bahru, Kampung Sungai Khamin, Gohtong Jaya dan berakhir di Genting Highland.

LTdL merupakan salah satu jelajah berbasikal berprestij antarabangsa yang memasuki edisi ke-24.

Categories
NASIONAL

LTdL mungkin ditangguh jika bertindih PRU

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JAN: Penganjuran jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) mungkin terpaksa ditangguhkan jika tarikh perlumbaan yang dicadangkan 16 hingga 25 Mac bertindih dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Pegawai Operasi LTdL, M Kumaresan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memaklumkan kepada penganjur bahawa mereka tidak boleh membekalkan khidmat sokongan jika pilihanraya berlangsung pada tarikh sama.

“Kami sudah mengambil kira kemungkinan terpaksa menunda perlumbaan jika polis tidak boleh membantu.

“Tapi setakat yang kami tengok, PRU mungkin lambat lagi,” katanya dipetik Harian Metro.

Katanya, khidmat polis penting bagi mengawal keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang perlumbaan LTdL.

Mengulas perkara sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berpandangan penganjuran pada Mac ‘mungkin selamat’ kerana persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung.

Katanya, persidangan akan berlangsung pada 5 Mac dan akan bersidang selama lebih dua minggu.