Categories
AGENSI SELANGOR

Mais sedia 27 pusat pengislaman di Selangor

SHAH ALAM, 12 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyediakan 27 pusat pengislaman di seluruh negeri ini bagi memudahkan penganut agama lain memeluk Islam.

Pusat itu membabitkan pejabat agama Islam daerah, pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi), masjid dan universiti awam.

“Antara pusat pengislaman yang berdaftar dan dipantau adalah NGOi seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Hidayah Centre Foundation dan Malaysian Chinese Muslim Association.

“Selain itu, masjid di sekitar Selangor yang menguruskan pengislaman ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Al-Falah USJ 9 dan Masjid Al-Azim, Hulu Langat” ujar Mais dalam kenyataan hari ini.

Universiti awam pula, proses itu dilakukan di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selain di Bahagian Pendaftaran Mualaf, Kompleks MAIS Klang.

“Mereka yang berhasrat untuk memeluk agama Islam bagi yang berumur 18 tahun ke atas hanya perlu membawa dokumen seperti MyKad atau Pasport Visa/Pas Sosial (yang masih sah laku), dua gambar ukuran pasport berserta dua saksi lelaki Islam.

“Bagi yang berumur 18 tahun ke bawah atau kanak-kanak pula hanya perlu menambah dokumen dengan membawa ibu bapa atau penjaga yang sah semasa pendaftaran pengislaman,” kata kenyatan itu.

Maklumat lanjut boleh rujuk Bahagian Pendaftaran Mualaf Mais, Kompleks Mais, Tingkat 2, Lot 336, Jalan Meru Off/Jalan Kapar, 41050 Klang atau hubungi talian 03-33614000.