Categories
PBT SELANGOR

MDKS roboh sembilan papan iklan gergasi di Lebuhraya Latar

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 FEB: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) meroboh sembilan papan iklan gergasi kerana struktur itu didirikan tanpa kebenaran di Lebuhraya Latar dekat sini, kata yang dipertuanya.

Rahilah Rahmat berkata pihaknya terpaksa mengambil tindakan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana tiada maklum balas diterima daripada mereka.

Beliau menambah notis dikeluarkan kepada pemilik papan iklan pada 3 Disember 2019 bagi membolehkan kerja meroboh dalam tempoh 14 hari.

“Tindakan tegas diambil supaya pengusaha agensi papan iklan mematuhi undang-undang serta tidak lagi membina sebarang struktur di atas tanah kerajaan mahupun individu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengingatkan agensi supaya mengemukakan permohonan terlebih dahulu, Rahilah berkata iklan tidak boleh mempamerkan bahan berunsur lucah dan menganggu pandangan pengguna.