Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Morais, Baswedan penerima anugerah Antirasuah Antarabangsa

PUTRAJAYA, 12 FEB: Mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan Ketua Penyiasat Komisi Pembanterasan Rasuah Indonesia, Novel Baswedan penerima pertama Anugerah Juara Antirasuah Antarabangsa Perdana 2020.

Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena pelancaran Yayasan Juara Antirasuah Antarabangsa Perdana (PIACCF) di sini malam tadi.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata anugerah itu adalah lambang penghargaan PIACCF kepada semua pegawai berani yang telah menderita dalam menegakkan integriti mereka.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua di seluruh dunia yang telah berkorban masa, nyawa dan komitmen dalam menamatkan ancaman rasuah,” katanya.

Kevin Morais, Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara diculik dan dibunuh secara tragik antara 4 dengan 16 September 2015 ketika menyiasat skandal rasuah.

Beliau berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Peguam Kanan Persekutuan dari tahun 2004 hingga 2015.

Adik mendiang Datuk Richard Morais menerima anugerah itu bagi pihak abangnya.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah, Baswedan, telah disimbah asid pada 11 April 2019 menyebabkan kecederaan kekal di matanya.

Serangan yang dilakukan terhadapnya berikutan kes-kes sensitif yang dikendalikannya terutama melibatkan ahli politik peringkat tinggi dan pegawai kanan polis di Indonesia.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir juga mengiktiraf sumbangan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dalam mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata ia merupakan satu kes yang penting kerana menjadi titik perubahan hala tuju politik Malaysia dan mencetuskan kebangkitan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Keberanian bersama dan kesungguhan mereka menjatuhkan rejim kleptokrasi, menunjukkan kuasa rakyat yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

– BERNAMA