Categories
AGENDA NASIONAL

Peranan Unit Tindakan Khas bukan seperti ‘Secret Service’

SUNGAI BULOH, 2 FEB: Peranan Unit Tindakan Khas (UTK) Polis adalah lebih meluas daripada pasukan ‘Secret Service’ di Amerika Syarikat (AS) yang bertanggungjawab melindungi presiden dan keluarganya.

Komander UTK, Senior Asisten Komisioner Mohd Khairi Khairuddin, berkata peranan UTK bukan untuk melindungi pemimpin kerajaan dan negara sahaja.

Katanya, tanggungjawab dan amanah UTK lebih luas dengan mereka banyak terbabit dalam operasi berbahaya berprofil tinggi, antaranya menangani kes penculikan dan berdepan musuh bersenjata.

Beliau berkata, dalam mengawal keselamatan orang kenamaan, UTK sentiasa berada dalam keadaan siap-siaga untuk menghadapi ancaman mendatang ketika bertugas.

“Peristiwa berdarah membabitkan seorang menteri di Indonesia pada 2019 telah membuka mata banyak pihak bahawa ancaman boleh berlaku bila-bila masa sahaja,” katanya merujuk kepada insiden Menteri Keselamatan Indonesia, Wiranto, yang ditikam oleh seorang lelaki ketika mahu menaiki kereta rasminya.

“Meskipun tiada kejadian serius berlaku terhadap orang berkepentingan di negara ini, unit ini sentiasa berwaspada,” katanya berucap pada majlis media sempena sambutan Hari Ulang Tahun UTK ke-45 di Lapang Sasar Sungai Buloh di sini, hari ini.

UTK ditubuhkan pada 1 Januari 1975, hasil buah fikiran Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohammed Hanif Omar, dalam usaha memerangi keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) pada masa itu.

–BERNAMA