Categories
AGENDA NASIONAL

Polis ingatkan masyarakat supaya tidak sebar berita palsu

JOHOR BAHRU, 24 FEB: Masyarakat di negeri ini diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran ketenteraman awam berhubung situasi politik negara ketika ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, walaupun banyak tindakan sudah dikenakan terhadap individu yang menyebarkan pelbagai berita palsu sebelum ini, namun, masyarakat dilihat masih meneruskan perbuatan seumpama itu.

“Kita tidak mahu individu atau ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dalam isu politik yang sedang bergolak.

“Kalau kita tengok, sejak semalam banyak tersebar video dan audio oleh pelbagai pihak yang menggambarkan Malaysia ini akan menghadapi satu isu ketenteraman awam,” katanya.

Ayob Khan yang memulakan tugas sebagai Ketus Polis Johor yang baharu hari ini berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas antara beliau dan bekas Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din di sini, hari ini.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor manakala Mohd Kamarudin akan bertukar ke Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Ayob Khan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan penyebaran berita palsu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kalau ada pihak yang terlibat, polis akan mengambil tindakan, itu sudah ditegaskan sebelum ini. Jangan bila kita (polis) sudah ambil tindakan, baru (masyarakat) hendak menyesal,” katanya.

Sementara itu, mengenai tugas baharunya, Ayob Khan, 54, yang sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman berkata, beliau akan meneruskan polisi yang dilaksanakan Mohd Kamarudin.

“Saya akan meneruskan polisi yang bagus, yang mana ada kekurangan, saya akan perbaiki lagi,” kata anak jati Kedah, yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Disember 1991.

– BERNAMA