Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura sahkan tujuh lagi kes jangkitan koronavirus

SINGAPURA, 9 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan tujuh kes baharu jangkitan koronavirus 2019 di republik itu, menjadikan jumlahnya kini 40.

Lima daripada jumlah berkenaan mempunyai kaitan dengan kes-kes yang diumumkan sebelum ini, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

“Antara kes-kes baharu yang disahkan itu melibatkan pemandu teksi, dan pemandu peribadi kereta sewa,” tambahnya.

Menurut kementerian itu dua daripada kes-kes baharu yang disahkan mempunyai kaitan dengan mesyuarat perniagaan persendirian yang berlangsung di Grand Hyatt Singapore dari 20 hingga 22 Januari.

Kes-kes baharu itu melibatkan enam warga Singapura serta seorang pemastautin tetap, dan kesemua mereka tiada rekod perjalanan baru-baru ini ke China.

Dalam maklumat kemas kini kes-kes yang disahkan, Kementerian Kesihatan Singapura berkata dua telahpun dibenarkan keluar hospital, empat ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dalam keadaan kritikal, dan satu memerlukan sokongan oksigen tambahan.

– BERNAMA