Categories
AGENDA GLOBAL

Facebook sekat akses akaun STR Singapura

SINGAPURA, 19 FEB: Facebook pada Selasa menyekat akses akaun States Times Review (STR) kepada pengguna Singapura, didakwa menyiarkan berita tidak benar mengenai beberapa isu termasuk berkaitan koronavirus 2019 (Covid-19), lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Pada 17 Februari, gergasi media sosial itu diarah berbuat demikian oleh pejabat yang menyelia kandungan dalam talian berdasarkan Akta Perlindungan daripada Pembohongan Dalam Talian dan Manipulasi (POFMA).

Sejak November lalu, Facebook STR, dikendalikan warga Singapura, Alex Tan telah tiga kali diarahkan membuat pembetulan berita yang disiarkan. Dua daripadanya mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19.

Tan mendakwa beliau merupakan warga Australia yang berpangkalan di luar negara.

Selepas Tan tidak mengendahkan semua perintah terbabit, STR dikenakan beberapa tindakan termasuk dihalang daripada menerima sebarang manfaat kewangan.

Disebabkan gagal mematuhi peraturan di bawah POFMA, pihak berkuasa mengeluarkan arahan menyekat Facebook STR.

POFMA berkuat kuasa 2 Oktober tahun lalu. Di bawah akta itu kerajaan Singapura boleh mengarahkan platform atau perantara internet untuk menyekat akses terhadap kandungan dalam talian yang mengandungi maklumat salah. Mana-mana pertubuhan yang tidak mematuhi arahan itu boleh didenda sehingga AS$500,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Covid-19: Angka korban di China meningkat lebih 2,000

BEIJING, 19 FEB: Angka korban akibat koronavirus 2019 (Covid-19) di China meningkat kepada 2,005 orang, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara pada Rabu.

Menurut agensi berita Anadolu, pihak berkuasa mengatakan dalam tempoh 24 jam lalu sebanyak 74,185 kes disahkan manakala 136 orang meninggal dunia.

Seramai 11,977 lagi yang dijangkiti berada dalam keadaan kritikal.

Jumlah mereka di bawah pemantauan perubatan menurun kepada 135,881, manakala bilangan pesakit dibenarkan pulang meningkat kepada 14,376.

Di luar tanah besar China, jumlah mereka yang dikesan dengan virus itu seramai 62 orang di Hong Kong dan 10 di Macau.

Covid-19, dikatakan merebak kepada manusia daripada haiwan, terutama kelawar.

Virus itu merebak ke lebih 20 negara lain termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Perancis, Rusia, Sepanyol dan India.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai darurat kesihatan global.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakej rangsangan ekonomi tumpu pelancongan domestik – TPM

BUKIT MERTAJAM, 15 FEB: Pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan pada 27 Februari ini bagi mengurangkan impak ekonomi luaran susulan penularan Covid-19 di negara ini, akan memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan domestik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan sedang mengusahakan pakej rangsangan terbaik untuk meningkatkan sektor itu yang antara terkesan disebabkan penularan Covid-19.

“Memang kita nak fikirkan bagaimana nak buat pakej rangsangan. Kalau pelancongan domestik itu kita cuba tingkatkan. Kita nak tingkatkan pakej rangsangan kita untuk pelancongan domestik sekurang-kurangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pemantauan pelaksanaan projek di bawah peruntukan Timbalan Perdana Menteri di Masjid Jamek Tuan Haji Abdul Latif, Permatang Pasir di sini hari ini.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyerahkan sumbangan RM500,000 di bawah peruntukan Timbalan Perdana Menteri untuk kerja meroboh dan membina bangunan tambahan baharu Masjid Jamek Tuan Haji Abdul Latif, Permatang Pasir.

Beliau berharap dengan sumbangan itu dapat memberi kemudahan kepada kariah dan jemaah masjid untuk lebih mengimarahkan masjid yang dibina pada tahun 1965 itu.

Masjid itu berdepan dengan masalah ruang solat yang terhad selain kekurangan beberapa kemudahan lain untuk melakukan aktiviti keagamaan.

Projek yang dijangka siap pada Oktober depan akan mampu menampung seramai 846 jemaah dalam satu masa berbanding hanya 739 jemaah ketika ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua lagi kes positif Covid-19 dikesan – Dr Dzulkefly

KUALA SELANGOR, 15 FEB: Dua lagi kes positif virus Covid-19 disahkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini meningkat kepada 21 kes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua kes terbaru itu melibatkan seorang lelaki dan wanita warga China.

Beliau berkata kes ke-20 ialah seorang ahli perniagaaan lelaki berusia 27 tahun dari Guangzhou yang dikesan bergejala ketika melalui saringan kesihatan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

“Berikutan itu sampel klinikal (throat swab) telah diambil untuk tujuan pengesahan dan beliau dimasukkan di wad isolasi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah. Pagi ini sampel ‘throat swab’ beliau disahkan positif Covid-19.

“Bagi kes ke-21, seorang wanita berusia 32 tahun yang menetap di negara ini tetapi membuat lawatan ke China pada 22 hingga 30 Januari lepas. Beliau disahkan positif Covid-19 pagi ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Desa Aman Desa Coalfield, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Dr Dzulkefly, yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menyerahkan kira-kira 5,000 botol cecair pencuci tangan sumbangan Elite Advanced Materials Sdn Bhd, kepada 35 sekolah seluruh daerah itu.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menasihati rakyat agar tidak panik dengan jangkitan virus Covid-19 kerana kerajaan telah bersiapsiaga dalam menghadapi situasi itu.

Dr Dzulkefly berkata walaupun kadar penularan virus itu tinggi di China iaitu pada kadar 4.8 hingga lima peratus, kadar penularan penyakit itu di Malaysia dan negara-negara lain seluruh dunia hanyalah pada kadar 0.5 hingga satu peratus.

“Kadar ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) yang kadar penularannya pada 10 peratus dan 30 peratus,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu penutup hidung dan mulut: KDN beri kelonggaran ambil pekerja asing

PUTRAJAYA, 14 FEB: Kabinet melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi kelonggaran pengambilan lebih ramai pekerja asing kepada syarikat pengeluar penutup hidung dan mulut bagi membolehkan mereka menghasilkan lebih banyak produk itu dalam mengawal penularan kluster koronavirus 2019 (Covid-19), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi pengurusan bencana pusat berhubung kluster Covid-19 di Perdana Putra di sini hari ini, beliau berkata perkara itu akan diuruskan KDN bersama Kementerian Sumber Manusia dalam waktu terdekat.

Jelasnya, sebelum Covid-19, penggunaan penutup hidung dan mulut hanya dalam kalangan petugas kesihatan sahaja. Namun permintaan meningkat mendadak berikutan penularan Covid-19.

Beliau berkata pengeluar memberitahu mereka perlu beroperasi selama 24 jam dalam tiga syif bagi meningkatkan pengeluaran.

“Bagaimanapun kawalan terhadap jumlah kemasukan (pekerja asing) akan tetap dikenakan kerana kerajaan tidak mahu kebanjiran pekerja asing,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata langkah mengawal selia bekalan dan harga jualan penutup hidung dan mulut di pasaran telah diambil bagi menghalang pembelian produk itu secara pukal dan dibawa ke luar negara.

Surat arahan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri dan cawangan sudah dikeluarkan untuk memastikan penjual produk itu membuat kawalan kendiri dan tidak menjual secara pukal kepada pelanggan, katanya.

Ada kuota untuk produk berkenaan supaya bekalan di dalam negara mencukupi dan pihak tertentu tidak melakukan pembelian secara pukal untuk dihantar ke luar negara, tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata Malaysia tidak akan membenarkan kemasukan kapal-kapal asing untuk berlabuh di negara ini kecuali kapal-kapal berkenaan berkongsi maklumat penting yang diperlukan pihak berkuasa Malaysia.

Menurutnya Jabatan Imigresen Malaysia telah melaporkan bahawa terdapat permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran dari Hong Kong iaitu kapal Westerdam dan kapal Sapphire Princess.

Kapal Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia, telah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam.

Manakala Sapphire Princess telah selamat berlabuh di Singapura, katanya.

Mengulas mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19 di China, beliau berkata, ia disebabkan perubahan definisi kes positif Covid-19 bagi wilayah Hubei.

“Terkini, mana-mana pesakit di wilayah Hubei yang menunjukkan kesemua gejala klinikal Covid-19 tetapi belum disahkan positif melalui ujian makmal adalah dikategorikan sebagai kes yang positif,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata bagaimanapun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pesakit yang disahkan positif Covid-19 di luar China tidak menunjukkan peningkatan kes yang mendadak.

Jelasnya, Malaysia tidak mengikuti langkah Hubei dalam mendefinasikan kes Covid-19 tanpa ujian makmal.

“Di Malaysia Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah bersedia dari awal (untuk melakukan ujian makmal). IMR sudah sedia,” katanya.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Duta puji KKM panjangkan penjagaan pesakit China

SUNGAI BULOH, 14 FEB: Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian memuji langkah Kementerian Kesihatan (KKM) memanjangkan penjagaan kepada rakyat China yang dimasukkan ke hospital di negara ini selepas mereka didapati dijangkiti virus koronavirus 2019 (Covid-19).

Bercakap kepada media selepas melawat empat pesakit Covid-19 rakyat China yang telah sembuh dan dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh di sini hari ini bersama-sama Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, beliau berkata seorang daripada pesakit itu memberitahunya bahawa mereka bersyukur kerana menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Mereka terharu dengan layanan dan penjagaan baik serta kasih sayang yang mereka terima,” katanya sambil menambah bahawa hospital itu turut bersusah-payah menyediakan doktor yang fasih berbahasa Mandarin kepada mereka semasa rawatan.

Keempat-empat pesakit dibenarkan keluar selepas tiga minggu menerima rawatan. Mereka meninggalkan hospital itu tanpa bertemu dengan media.

Mereka merupakan kes Covid-19 pertama, kedua, ketiga dan kelima yang disahkan di Malaysia, membabitkan seorang nenek, seorang ibu dan dua anak daripada satu keluarga.

Bai Tian turut memuji kementerian itu yang profesional dalam menangani situasi Covid-19 di Malaysia, terutama dalam menyalurkan maklumat jelas untuk meredakan kebimbangan yang tidak perlu.

Sementara itu, Lee berkata keempat-empat tidak diberikan sebarang ubat antiviral kerana sistem imun mereka sendiri berjaya menyingkirkan virus Covid-19.

Beliau berkata mereka dibenarkan keluar kerana tidak lagi mempunyai gejala penyakit itu dan telah dua kali diuji negatif secara berterusan dalam tempoh lebih 24 jam.

“Mengenai rawatan antiviral, kami masih menunggu lebih banyak keputusan dari China kerana mereka melaporkan bahawa terdapat beberapa jenis ubat yang mungkin berguna.”

Beliau berharap penularan Covid-19 boleh dikawal dalam masa yang singkat sambil menambah bahawa semua negara harus menghadapinya bersama.

Penularan koronavirus baharu itu, yang bermula di Wuhan, China telah menyebabkan lebih 1,300 orang maut setakat ini manakala lebih 64,000 dijangkiti di seluruh dunia.

Malaysia mencatat 19 kes dengan tujuh daripadanya telah pulih dan dibenarkan keluar hospital, termasuk empat di Hospital Sungai Buloh hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KPDNHEP terima 250 aduan berkaitan penutup hidung, mulut

KUCHING, 14 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 250 aduan salah laku berkaitan penutup hidung dan mulut, susulan penularan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19).

Timbalan menterinya Chong Chieng Jen berkata sehingga semalam, aduan yang diterima merangkumi harga mahal sebanyak 181 aduan; kurang atau tiada bekalan (lapan); tidak menerima barang yang ditempah (tujuh); harga mengelirukan (empat); barang tiruan (dua); barang yang diterima tidak seperti yang ditawarkan (dua) dan kualiti produk (satu).

“Selain itu, barangan yang turut terkesan daripada penularan jangkitan itu adalah harga cecair pembasmi kuman pada tangan (hand sanitizer), di mana kementerian menerima sebanyak 20 aduan berkaitan barangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ekspo Konsumer-Kerajaan di sini hari ini.

Mengulas mengenai aduan-aduan lain yang diterima KPDNHEP, Chong berkata antara yang sering dilaporkan oleh rakyat adalah berkaitan harga barangan, penandaan tanda harga, transaksi atas talian serta aduan mengenai perkhidmatan mengelirukan.

“Bagi 2019, kementerian menerima 21,935 aduan, iaitu penurunan sebanyak 15.9 peratus berbanding 26,086 aduan pada 2018.

“Tiga kategori (aduan) tertinggi bagi 2019 ialah berkaitan harga iaitu sebanyak 6,076 aduan, diikuti aduan berkaitan transaksi atas talian (5,415) dan perkhidmatan mengelirukan sebanyak 3,566 aduan,” katanya.

Beliau berkata KPDNHEP telah menyediakan sembilan saluran, bagi memudahkan rakyat untuk mengemukakan aduan kepada kementerian.

“Bagi 2019, saluran paling popular dalam kalangan rakyat adalah penyaluran aduan melalui Portal e-Aduan iaitu 46.1 peratus diikuti aplikasi telefon pintar Ez ADU (25.9 peratus) dan yang ketiga adalah menerusi aplikasi WhatsApp (13 peratus),” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Empat lagi pesakit pulih sepenuhnya

PUTRAJAYA, 14 FEB: Empat lagi individu yang dijangkiti koronavirus 2019 (Covid-19) telah dibenarkan pulang hari ini, menjadikan bilangan kes yang sembuh dan dibenarkan sebanyak tujuh orang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata empat individu berkenaan merupakan kes pertama, kedua, ketiga dan kelima daripada keseluruhan 19 individu dijangkiti virus itu sejak kes pertama dikesan 25 Jan lalu.

Beliau berkata kesemua empat individu itu merupakan kontak rapat kepada kes pertama membabitkan warga China yang dilaporkan di Singapura, dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

“Mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan Covid-19 yang dijalankan sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif.

“Kesemua mereka merupakan warganegara China, melibatkan wanita berusia 66 tahun, 36 tahun, dan kanak-kanak lelaki berusia 11 dan dua tahun,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat berhubung Covid-19 di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata jumlah kumulatif kes Covid-19 kekal 19 kes dengan sembilan daripadanya adalah kes dalam siasatan (PUI), lapan kes membabitkan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan, melibatkan 13 individu warganegara China dan enam rakyat tempatan.

Beliau berkata sebanyak 239 kontak rapat telah dikenal pasti melibatkan 181 warga Malaysia, 46 China dan 12 individu lain-lain warganegara.

Kesemua kontak rapat yang telah dikesan sudah diambil sampel dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian, katanya.

Dr Wan Azizah berkata semua 107 individu sedang dalam pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, Negeri Sembilan, berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata jika keputusan saringan akhir menunjukkan negatif Covid-19, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah pada hari ke-14 iaitu pada 18 Februari nanti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

26 kertas siasatan berita palsu Covid-19 dibuka

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Polis membuka tiga lagi kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19) di media sosial, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 26 kes.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Datuk Mohd Roze Shaari berkata tiga laporan kes baharu yang diterima pihaknya ialah di Kuching dan Miri di Sarawak serta satu kes di Temerloh, Pahang.

“Tiga kes berkaitan berita palsu akan dituduh di mahkamah masing-masing di Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah.

“Penularan berita ini dilihat serius, saya menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi sebarang kenyataan ataupun artikel tidak sahih berkaitan jangkitan virus itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Langkah kerajaan berkesan kawal Covid-19

LANGKAWI, 14 FEB: Kerajaan Malaysia dilihat berkesan dalam mengawal penularan epidemik koronavirus 2019 (Covid-19) di negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berharap usaha itu dengan kerjasama pelbagai pihak diteruskan bagi melindungi rakyat Malaysia daripada dijangkiti virus itu.

“Kita berjaga-jaga dari awal, kita memeriksa mereka yang datang ke Malaysia terutama dari China dan kalau kita sangka mereka membawa virus itu kita masukkan mereka dalam kuarantin 14 hari.

“Orang kita di Wuhan yang dibawa balik juga dikuarantin 14 hari …dengan cara ini setakat ini kita bernasib baik kerana ada 19 kes sahaja dan daripada 19 itu kebanyakan orang (rakyat) China juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Fasa 2: Villa Sirehan dan melawat tapak projek 1: Rebungan Resort Langkawi di Ulu Melaka, di sini hari ini.

Mengulas perbualan telefon dengan Presiden China Xi Jinping berhubung wabak itu semalam, Dr Mahathir berkata beliau menyatakan rasa simpati kepada pemimpin itu dan menyifatkan China telah mengambil tindakan luar biasa untuk menangani wabak itu.

“Kita menyatakan perasaan simpati kita pada Xi Jinping dan berterima kasih kerana jelas sekali presiden China mengambil berat tentang perkara ini dan mengambil tindakan luar biasa untuk banteras penularan penyakit.

“Saya fikir dia (kerajaan China) membuat apa (sahaja) yang mungkin (dapat) dilakukan dan kita berterima kasih dia tolong kita (Malaysia) dapat bawa balik rakyat kita yang ada di sana,” kata perdana menteri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO: Vaksin Covid-19 dijangka siap dalam 18 bulan

GENEVA, 14 FEB: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Selasa berkata vaksin pertama untuk koronavirus 2019 (Covid-19) dijangka dapat dihasilkan dalam tempoh 18 bulan, lapor agensi berita Xinhua.

Menerusi Twitternya beliau berkata “ada banyak yang boleh kita lakukan bagi mencegah penularan dan bersedia untuk mengawalnya daripada terus merebak.”

Terdahulu, pada taklimat akhbar beliau berkata “sekarang kita memerlukan pelaburan untuk menghentikan wabak Covid-19,” sambil menambah menghasilkan vaksin dan terapeutik adalah agenda penting dalam penyelidikan.

“Kita bukan tidak berupaya untuk mempertahankan diri, kerana sekarang terdapat banyak dasar dan langkah pencegahan dalam kesihatan awam,” katanya.

“Jadi, kita perlu terus berusaha dengan menggunakan kelebihan yang ada bagi memerangi virus itu, sambil bersiap sedia untuk langkah jangka panjang,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pihak swasta digalak sedia mesin pengimbas suhu badan

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Pihak swasta digalak untuk menyediakan mesin pengimbas suhu badan di premis masing-masing terutama di pintu masuk utama bangunan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata perkara itu dilihat dapat membantu kerajaan mengekang penularan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19).

“Buat masa ini, Kementerian Kesihatan mempunyai 80 mesin pengimbas suhu badan yang diletakkan di pintu masuk antarabangsa (PMA) di seluruh negara, dan jumlah itu dilihat mencukupi buat masa ini.

“Walaupun harga mesin itu agak mahal sekitar RM40,000 namun kami tetap menggalakkan pihak swasta untuk sediakan mesin itu, contohnya kalau pihak hotel dapat sediakan itu dapat membantu kami (kerajaan),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Saintifik ke-17 Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) 2020, di sini hari ini.

Mengenai kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Singapura berhubung Covid-19, Lee berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Bersama akan diumum minggu depan.

“Saya merancang untuk pergi ke Singapura atau Johor Bahru, tetapi saya perlu meniliti dahulu jadual waktu kedua-dua pihak dan jika pertemuan itu dapat diadakan minggu depan, kami akan menyokong sama ada ia akan diadakan secara bersemuka ataupun melalui sidang video,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata Kementerian Kesihatan menyasarkan untuk mengurangkan kandungan garam sebanyak 15 peratus dalam pemakanan rakyat Malaysia tahun ini seperti yang digariskan kementerian itu dalam Strategi Pengurangan Pengambilan Garam 2015-2020.

“Kementerian sedang menjalankan kajian mengenai keburukan kandungan monosodium atau garam dalam pemakanan rakyat Malaysia di samping akan berterusan membuat program kesedaran tentang hipertensi,” katanya.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu pemain industri iaitu pengeluar dan penyedia makanan perlu turut mengurangkan penggunaan garam dalam penyediaan makanan kepada pengguna.

Seramai 500 delegasi dari dalam dan luar negara menghadiri kongres berkenaan yang membincangkan pelbagai isu antaranya cara menangani, rawatan dan situasi terkini hipertensi.

– BERNAMA