Categories
AGENDA NASIONAL

19 kakitangan KKM, lima petugas kesihatan swasta positif Covid-19

SHAH ALAM, 21 MAC: Seramai 19 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta telah disahkan dijangkiti Covid-19 sehingga kini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua daripada kakitangan KKM itu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan jangkitan bukan disebabkan oleh ketidakpatuhan semasa mengendalikan kes Covid-19 di peringkat fasiliti masing-masing.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua mereka merupakan kontak rapat generasi pertama dan kedua melibatkan kluster jemaah tabligh,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Sehingga 14 Mac 2020, seramai 337 orang anggota KKM telah menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 251 daripadanya negatif manakala baki 86 lagi masih menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham mengingatkan semua petugas kesihatan dan perubatan yang mengendalikan pesakit menggunakan penutup mulut dan hidung serta sentiasa menjaga kebersihan.