Categories
PBT SELANGOR

929 anjing terbiar ditangkap MPSJ tahun lalu

SUBANG JAYA, 2 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menangkap 929 anjing terbiar daripada 1,468 aduan berhubung kacau ganggu haiwan liar itu sepanjang tahun lalu, kata yang dipertuanya.

Bagaimanapun, Noraini Roslan berkata jumlah itu lebih rendah berbanding 1,022 tangkapan dilakukan tahun sebelumnya membabitkan 1,353 aduan.

“Kebanyakan kes anjing terbiar ialah anjing peliharaan yang dibuang apabila pemilik berpindah, anjing berpenyakit, sudah tua atau hasil daripada pembiakan tidak terkawal.

“Setiap aduan diambil tindakan Skuad Tangkapan Anjing Terbiar MPSJ mengikut tatacara operasi piawaian (SOP) ditetapkan memandangkan ia boleh memberi risiko kepada orang awam misalnya isu keselamatan, kesihatan persekitaran dan kebersihan,” katanya pada program Kawalan Haiwan Pihak Berkuasa Tempatan Selangor 2020 di Dewan Serbaguna MPSJ di sini hari ini.

Noraini berkata pihaknya turut mewujudkan polisi baharu dengan menguatkuasakan fi pelesenan lebih tinggi bagi anjing tidak dimandulkan berbanding anjing yang dimandulkan.

“Kita mahu menggalakkan pemilik memandulkan anjing bagi mengelak pertambahan populasi tidak terkawal sekali gus membayar kadar fi lesen lebih rendah.

“Bagi mereka yang memilih untuk tidak memandulkan anjing, kadar fi pendaftaran dikenakan RM100 dan perlu membayar fi RM20 pada tahun berikutnya, manakala RM10 (pemilik memandulkan anjing),” katanya.