Categories
ADN SELANGOR

ADN cadang dana khas buat Program Tanjung Suri

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri dicadang memberi peruntukan khusus kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengembangkan program Tanjung Suri, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata menerusi peruntukan itu ADN boleh menarik peserta Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk terlibat dalam program terbabit.

“Saya puji inisiatif Kerajaan Negeri melaksanakan program ini bagi membantu wanita menjana pendapatan sekali gus mencungkil bakat mereka.

“Namun saya berharap ada peruntukan khusus daripada Kerajaan Negeri bagi membantu aspek pemasaran serta jualan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, ADN Balakong, Wong Siew Ki berkata program Tanjung Suri boleh dimanfaatkan terutamanya ibu tunggal menjana pendapatan menerusi penghasilan kraf tangan.

“Program ini harus dipromosi bagi menarik suri rumah dan ibu tunggal menyertainya,” katanya.

Pada Ekspo Hasil Suri Selangor 2020 baru-baru ini Kerajaan Negeri mengumumkan penubuhan program Tanjung Suri bagi meningkatkan kemahiran penerima KISS menghasilkan produk bermutu.

Program di bawah EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud itu merupakan satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu golongan wanita.

Pada peringkat awal projek perintis itu, peserta diberi tunjuk ajar menghasilkan produk kraf tangan oleh pembimbing berpengalaman sebelum mereka diberi upah kerana bekerja dari rumah.