Categories
EXCO SELANGOR

Atlet Selangor perlu teruskan latihan di rumah

SHAH ALAM, 28 MAC: Persatuan sukan Selangor diarah memantau perkembangan atlet masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata ia bagi memastikan atlet kekal sihat serta meneruskan latihan di kediaman berpandukan modul disusun jurulatih.

“Latihan atlet juga ada yang dipantau melalui video malah atlet pun perlu menghantar laporan latihan kepada jurulatih pada setiap hari.

“Kita berharap atlet Sukma Selangor kekal konsisten berlatih kerana semua ini demi kebaikan
atlet itu sendiri,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 25 Mac lalu Jawatankuasa Tertinggi Sukma sebulat suara bersetuju menangguhkan Sukma Johor 2020 ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sukma 2020 ditetapkan pada 11 hingga 19 Julai manakala Para Sukma dijadualkan pada 16 hingga 22 Ogos.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada temasya Sukma 2020.