Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari, harga minyak dunia jatuh

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup rendah pada tengah hari ini sejajar dengan penurunan harga saham global selepas harga minyak jatuh menjunam sebanyak 30 peratus hari ini.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 44.75 mata atau 3.01 peratus lebih rendah kepada 1,438.35 daripada paras penutup 1,483.10 pada Jumaat minggu lepas.

Selepas dibuka turun 23.29 mata kepada 1,459.81 pagi ini, indeks tempatan bergerak antara paras 1,430.89 dan 1,459.81 sepanjang sesi pagi.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,112 berbanding 80, dengan 95 kaunter tidak berubah, 711 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 3.90 bilion saham bernilai RM1.82 bilion.

Menurut seorang peniaga, saham permodalan kecil, kewangan, tenaga dan perladangan merupakan antara kaunter yang terjejas teruk ekoran kegagalan perjanjian bekalan minyak antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Rusia.

“KLCI dijangka terus jatuh seiring dengan prestasi komoditi dan ekuiti global berikutan kesan berganda penurunan harga minyak mentah dan peningkatan penularan COVID-19 di Eropah,” kata Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa kepada Bernama.

Beliau berkata penularan Covid-19, kejatuhan harga minyak, prospek lemah eksport dan ketidakpastian tentang pelaksanaan biodiesel dan unjuran pengeluaran tinggi akan menjejaskan pasaran minyak sawit pada minggu ini.

-BERNAMA