Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 73 petugas KKM positif, bukan kendali kes

SHAH ALAM, 25 MAC: Seramai 73 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan positif Covid-19 setakat jam 12 tengah hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata punca jangkitan kesemua anggota kesihatan bukan disebabkan pengendalian kes positif wabak itu di fasiliti KKM.

“Daripada jumpah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes (64.4 peratus) berkaitan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh.

“Lain-lain punca adalah sejarah seperti melawat ke luar negara dan dari kontak keluarga yang positif Covid-19,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya.

Beliau berkata seramai 1,895 anggota kesihatan KKM yang menguruskan pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan sudah menjalani ujian pengesahan dengan 1,187 individu negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.