Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Derita mereka, hanya Allah yang tahu – Dr Redza

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Setiap manusia fitrahnya memerlukan sokongan moral khususnya daripada insan terdekat atau ahli keluarga, lebih-lebih lagi dalam keadaan seseorang itu sedang bertarung melawan penyakit.

Keadaan akan menjadi begitu menyedihkan apabila seseorang diuji dengan penyakit yang tidak pasti kesembuhannya namun terpaksa bersendiri, tiada keluarga atau insan tersayang boleh mendekati.

Begitulah keadaan dan realiti yang terpaksa dilalui dan ditanggung pesakit Covid-19 apabila ditempatkan di bilik isolasi.

Seorang anggota perubatan Dr Redza Zainol berkongsi pengalaman beliau yang bertugas menjaga pesakit PUI (pesakit dalam siasatan) Covid-19 menerusi catatan di Facebooknya.

Menurut Dr Redza, apabila berdepan dengan pesakit-pesakit Covid-19 beliau hanya mampu menahan sebak sambil mendoakan agar semua yang diuji dengan penyakit itu diberi kekuatan.

“Dari pagi mata ini asyik berkaca-kaca. Sekejap-sekejap ditelan air liur supaya air mata tidak tumpah kerana setiap kali kami masuk ke bilik isolasi, mereka (pesakit) akan tanya, ‘saya positif Covid ke doktor?’

“‘Ada juga yang merayu. Tolong doktor, tolong saya. Sekejap sahaja, kata seorang ibu supaya suaminya boleh datang untuk melawat anak mereka yang berusia 4 tahun,” katanya.

Dr Redza berkata ibu itu yang merayu dan menangis membuatkan beliau turut sebak namun sebagai doktor hanya mampu meminta maaf kerana pesakit seperti itu ‘perjalanannya memang sunyi’.

“Banyak masa mereka ini seorang diri. Tidak ada pelawat atau penjaga. Di dalam wad isolasi, lepas selesai memeriksa pesakit dan memberi perawatan, semua staf akan keluar dan pintu ditutup.

“Perbualan hanya melalui walkie talkie atau telefon. Ada masa kami berhubung gunakan papan putih dan pen marker melalui tingkap kaca. Banyak masa kami masuk cuma dua kali sehari, ikut keperluan,” katanya dan menambah, deritanya menjadi mereka ini (pesakit Covid-19) hanya Allah yang tahu.

“Dan saya, sebagai anggota perubatan hanya buat apa yang termampu. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah dengan setiap kali solat, saya doakan moga mereka sembuh. Moga kalian (semua) pun sama-sama doakan,” menurutnya.

Perkongsian di Facebook Dr Redza itu turut mendapat perhatian ribuan orang yang mendoakan keselamatan petugas perubatan serta kesembuhan pesakit selain berharap Malaysia berjaya memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dengan segera.

-BERNAMA