Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Covid-19: Enam lagi kematian, 58 sembuh

SHAH ALAM, 31 MAC: Enam lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah yang maut meningkat kepada 43 orang, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 140 lagi kes direkodkan, menjadikan keseluruhan 2,766 kes.

Daripada jumlah ini, 94 pesakit dirawat di unit rawatan rapi termasuk 60 orang memerlukan bantuan pernafasan.

“Seramai 58 pesakit sembuh hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu pulih meningkat kepada 537 orang,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya hari ini.

Beliau berkata jumlah kes harian yang dicatatkan berkait rapat dengan tingkah laku masyarakat dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini.

“Tempoh dua minggu amat mustahak akan tentukan tindakan kerajaan memberi impak tinggi (penurunan kes) seperti yang diharapkan,” katanya lagi.