Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan naik mendadak, keseluruhan 197 kes

SHAH ALAM, 13 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 39 kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif positif wabak kepada 197 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 38 kes hari ini dikesan dalam kalangan pesakit yang dipantau, manakala satu kes dalam kalangan kontak rapat.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga diberikan rawatan anti-viral,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata KKM turut menjalankan survelan bagi kes terpencil melalui pesakit penyakit seperti influenza dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke luar negara atau kontak dengan kes positif Covid-19.

“Sehingga 13 Mac 2020, sebanyak 756 sampel diuji dan tiga positif jangkitan. Setakat ini siasatan yang dijalankan mendapati kes tersebut dikesan dalam kalangan kluster perhimpunan tabligh.

“Siasatan bagi kes-kes berkenaan masih dijalankan dan orang awam akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.