Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Polis Petaling Jaya tangguh perjumpaan penduduk

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Beberapa siri perjumpaan dan perhimpunan antara pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan penduduk sekitar, ditangguhkan berikutan penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Nik Ezanee Mohd Faisal berkata perjumpaan yang dijadualkan dalam masa terdekat itu, hanya akan dilakukan secara individu atau kecil-kecilan sekiranya keadaan terdesak.

Selain itu, pihaknya akan turut membantu untuk mengesan individu sekiranya dikehendaki atau disyaki terkena jangkitan Covid-19.

“Kami juga dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu pihak Jabatan Kesihatan Daerah Petaling sekiranya diminta bantuan untuk mengesan individu disyaki telah dijangkiti dan enggan menerima rawatan,” katanya hari ini.

Beliau berkata satu mesyuarat koordinasi akan diadakan di antara pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Jabatan Kesihatan Daerah Petaling Jaya dalam usaha membendung wabak Covid-19.

– BERNAMA