Categories
ADN SELANGOR

Covid-19: Pusat khidmat ADN ditutup, batal program

SHAH ALAM, 19 MAC: Rata-rata Ahli Dewan Negeri (ADN) di Selangor membatalkan program di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac.

ADN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata kebanyakan program di kawasannya mungkin dibatal atau ada sebahagiannya ditangguh bergantung keadaan semasa Covid-19.

“Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sekinchan juga ditutup tetapi saya termasuk pegawai dan Ahli Majlis, kita bekerja daripada rumah. Jika penduduk mahu berurusan saya minta selepas habis perintah kawalan kecuali hal kecemasan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Jamaliah Jamaluddin berkata PKM Bandar Utama juga ditutup namun orang ramai yang mahu buat aduan masih boleh hubungi talian tertera di Facebook beliau.

“Kita juga sudah tampal notis makluman di PKM dan berharap orang ramai sedia maklum selain ambil langkah berjaga-jaga sepanjang kawalan perintah ini,” katanya.

ADN Seri Setia, Halimey Abu mengakui ada penduduk meminta beliau turun padang untuk mengedarkan penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman tetapi beliau tidak melakukanya berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya mohon maaf tetapi anda semua dinasihatkan duduk sahaja di rumah kerana ia juga kebaikan kita semua pada masa akan datang. Namun, jika perlu keluar ikut arahan seperti pakai penutup mulut dan hidung serta jarakkan diri dengan orang sekeliling,” katanya.