Categories
ADN SELANGOR

Covid-19: Pusat khidmat ADN ditutup, batal program

SHAH ALAM, 19 MAC: Rata-rata Ahli Dewan Negeri (ADN) di Selangor membatalkan program di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac.

ADN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata kebanyakan program di kawasannya mungkin dibatal atau ada sebahagiannya ditangguh bergantung keadaan semasa Covid-19.

“Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sekinchan juga ditutup tetapi saya termasuk pegawai dan Ahli Majlis, kita bekerja daripada rumah. Jika penduduk mahu berurusan saya minta selepas habis perintah kawalan kecuali hal kecemasan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Jamaliah Jamaluddin berkata PKM Bandar Utama juga ditutup namun orang ramai yang mahu buat aduan masih boleh hubungi talian tertera di Facebook beliau.

“Kita juga sudah tampal notis makluman di PKM dan berharap orang ramai sedia maklum selain ambil langkah berjaga-jaga sepanjang kawalan perintah ini,” katanya.

ADN Seri Setia, Halimey Abu mengakui ada penduduk meminta beliau turun padang untuk mengedarkan penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman tetapi beliau tidak melakukanya berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya mohon maaf tetapi anda semua dinasihatkan duduk sahaja di rumah kerana ia juga kebaikan kita semua pada masa akan datang. Namun, jika perlu keluar ikut arahan seperti pakai penutup mulut dan hidung serta jarakkan diri dengan orang sekeliling,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bonus Untuk Staf Pusat Khidmat DUN

khalid dun 5

SHAH ALAM 1 JULAI :  Kerajaan Negeri bakal memberi bonus kepada kakitangan pusat khidmat DUN yang mencapai target dalam menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemberian itu bertujuan mempertingkatkan penglibatan masyarakat terhadap program MES selain memastikan golongan yang memerlukan dapat dibantu.

Katanya, pemberian bonus ini sebagai satu galakan agar keberkesanan kerajaan prihatin akan dapat dicapai dan jumlahnya akan dibincangkan nanti.

“Tetapi kita dapati adakalanya maklumat program MES tidak sampai kepada rakyat dan kita merencanakan beberapa pendekatan untuk memperhebat hubungan itu ,” katanya menjawab pertanyaan lisan Hasbullah Mohd Ridwan (PAS-Gombak Setia) ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Selain itu, Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri sentiasa mencuba mengenal pasti dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam menambah baik program MES termasuk syarat-syarat bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh semua golongan.

“Oleh itu, pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa memantau perlaksanaan setiap program dari masa ke semasa bagi memastikan ia berjalan lancar melalui laporan yang dikemas kini dari masa ke semasa kepada Kerajaan Negeri.

“Kita juga sentiasa menerima dan mengambil kira segala cadangan atau apa juga teguran yang diterima bagi sebarang penambahbaikan,” katanya.

Antara program MES yang diperkenalan sejak 2008 ialah air percuma, Tabung Anak Warisan Selangor (Tawas) dan yang terbaru insentif perkahwinan kepada belia berumur 35 tahun ke bawah, tidak ketinggalan bantuan untuk golongan warga emas serta banyak lagi program.

Info berkaitan program MES disediakan di portal rasmi MES iaitu mes.selangor.gov.my , di pusat khidmat DUN, pengedaran risalah di setiap daerah, promosi melalui billboard dan kaunter-kaunter penerangan MES di gerai pameran majlis Kerajaan Negeri.