Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tujuh lagi petugas KKM positif, keseluruhan 80 kes

SHAH ALAM, 26 MAC: Tujuh lagi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikesan dijangkiti Covid-19 setakat pagi tadi, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata laporan terbaharu itu menjadikan jumlah terkumpul anggota KKM dijangkiti wabak berkenaan sebanyak 80 kes.

“Berdasarkan siasatan, punca jangkitan semua anggota kesihatan terbabit bukan disebabkan pengendalian kes positif wabak berkenaan di fasiliti Kesihatan KKM.

“Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan dinasihati mengamalkan langkah pencegahan seperti disarankan terutama memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial dan pemakaian alat pelindung diri mengikut keperluan ditetapkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, seramai 73 petugas KKM disahkan dijangkiti Covid-19 bukan disebabkan pengendalian kes positif wabak itu di fasiliti KKM.

Daripada jumpah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes (64.4 peratus) berkaitan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh.