Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat budak, bayi terminum cecair pembasmi kuman, ibu bapa usah lalai

SHAH ALAM, 13 MAC: Empat kanak-kanak termasuk bayi berusia lima bulan keracunan akibat terminum cecair pembasmi kuman, bahan bagi mengelak jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

Mengikut Pusat Racun Negara hari ini, cecair itu biasanya mengandungi lebih 60 peratus alkohol jenis etanol atau isopropil yang boleh memudaratkan jika tertelan.

Kenyataan itu juga menyebut keracunan alkohol tahap sederhana boleh mengakibatkan khayal, perubahan tingkah laku, pergerakan otot dan anak mata tidak terkawal.

“Keracunan yang teruk juga boleh menganggu saraf pusat dan sistem pernafasan, suhu badan serta paras gula dalam darah menurun manakala seseorang boleh alami sawan dan kekeliruan pemikiran,” kata hantaran Facebook pusat tersebut.

Bagaimanapun, pusat itu tidak menyebut butiran terperinci berkaitan mangsa kecuali usia mereka mencecah dua tahun.

Pusat Racun Negara juga menasihati ibu bapa supaya tidak lalai bagi mengelak kejadian berulang.