Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jejambat Bandar Saujana Putra siap September 2021

KUALA LANGAT, 3 MAC: Pembinaan jejambat bagi menyuraikan trafik di Bandar Saujana Putra dijangka siap pada September 2021, kata penolong pengurus perancangan projek Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Yousman Yaakub berkata jejambat empat lorong (dua lorong sehala) sepanjang 800 meter akan menjadi penghubung antara Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuh Raya Klang Selatan (SKVE) tanpa perlu melalui bulatan Bandar Saujana Putra.

“Persimpangan bertingkat dan Plaza Tol Bandar Saujana Putra bagi menghubungkan ELITE ke kawasan sekitar Bandar Saujana Putra dibuka secara rasmi pada 5 Mac 2008.

“Bagaimanapun, jejambat penghubung antara ELITE dan SKVE belum dibina dan menyebabkan kesesakan lalu lintas kepada penduduk dan pengguna lebuh raya,” katanya selepas meninjau tapak pembinaan jejambat di sini hari ini.

Penolong Pengurus Perancangan Projek Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Yousman Yaakub ditemubual selepas lawatan tapak jejambat bersama Media Selangor di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 3 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Yousman berkata jejambat tersebut akan memberi manfaat kepada 65,000 penduduk dan pengguna lebuh raya terutama pada waktu puncak apabila siap kelak.

“Bulatan Bandar Saujana Putra pula akan diganti dengan persimpangan lampu isyarat dan kita yakin dengan siap semua projek ini ia akan mengatasi isu kesesakan,” katanya.

Pada 12 April 2018, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RM60 juta bagi membina jejambat oleh kontraktor LBS Bina Group Berhad dengan kerjasama PNSB.