Categories
AGENSI SELANGOR

Kontraktor Air Selangor diwajib sertai program Pasport Keselamatan

PUTRAJAYA, 10 MAC: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) mewajibkan semua kontraktor di bawah seliaannya mengikuti program Pasport Keselamatan sebagai langkah mengurangkan risiko ketika bekerja, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Suhaimi Kamaralzaman berkata inisiatif dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) itu bagi memastikan kontraktor mematuhi polisi yang ditetapkan semasa bekerja yang merangkumi aspek kesihatan, keselamatan serta alam sekitar.

“Kontraktor diberi pengecualian menghadiri Kursus Induksi Keselamatan Pekerja Kontraktor dan mendapat Kad Hijau CIDB (akreditasi personel binaan untuk meningkatkan tahap keselamatan di tapak kerja pembinaan).

“Niosh menyediakan perlindungan insurans 24 jam jika berlaku kemalangan atau kematian ke atas kontraktor yang telah mengikuti  program Pasport Keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Pasport Keselamatan yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayob Salleh di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, Presint 19 di sini hari ini

Pada tahun lalu direkodkan sebanyak 22 kes kecederaan di tempat kerja melibatkan kontraktor.

Sementara itu, Ayob memuji pendekatan Air Selangor yang menjadi syarikat perintis melaksanakan program tersebut buat kontraktor dalam kalangan syarikat air lain di negara ini seterusnya membantu kerajaan meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja.