Categories
AGENSI SELANGOR

Maqis rampas pelbagai barang termasuk bangkai di KLIA

SHAH ALAM, 9 MAC: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan pelbagai jenis tumbuhan, bangkai, ikan dan keluaran pertanian bernilai lebih RM91,000 sepanjang Ops 2.0

Kesemua barang dirampas di pintu masuk kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat Sepang.

Semua barang dirampas tersebut disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), lapor BH Online.

Maqis menjelaskan, antara kesalahan dikesan sepanjang operasi itu merangkumi kegagalan mengemukakan permit import dan eksport oleh jabatan berkenaan semasa pengeksportan, ketidakpatuhan terhadap syarat permit, pengisytiharan dokumen mengelirukan dan ketidakpatuhan syarat pengredan, pembungkusan serta pelabelan.

‚ÄúTurut dirampas 2,801 ekor ikan hiasan air tawar pelbagai spesies yang tidak mempunyai permit eksport,” jelas Maqis dalam kenyataan hari ini.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan kemasukan hasil pertanian, haiwan, bangkai, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang mematuhi syarat serta peraturan.