Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Batal acara akibat Covid-19, MB jumpa pengarah kesihatan Selangor

SHAH ALAM, 9 MAC: Dato’ Menteri Besar akan berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkaitan peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini sebelum membatalkan acara anjuran Kerajaan Negeri membabitkan orang ramai.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan dengan Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman dijadual hari ini bagi mendapatkan perincian terkini.

“Jika ada pengumuman tertentu saya akan buat petang ini atau awal pagi esok,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak.

Sehingga semalam, jumlah kumulatif positif Covid-19 di negara ini adalah 99 kes dengan 18 kes dikesan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI), 79 kes dalam kalangan kontak rapat dan dua lagi membabitkan individu terbabit dengan misi bantuan kemanusiaan.

Pada 7 Mac lalu, Kerajaan Negeri menasihatkan penganjur membatalkan program skala besar susulan gelombang kedua penularan Covid-19.

Semalam, penganjuran Woman Marathon di Petaling Jaya melibatkan 8,000 peserta dibatalkan.