Categories
PBT SELANGOR

MPS sita barang niaga di kaki lima

SELAYANG, 11 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita pelbagai barang niaga sebuah restoran yang diletakkan di kaki lima tanpa kebenaran di Sri Gombak di sini, kata pengarah jabatan korporat MPS.

Mohamad Zin Masoad berkata operasi melibatkan 16 anggota penguat kuasa kelmarin itu merampas 15 meja lipat, sembilan unit gerai pelbagai saiz dan 22 buku inventori niaga.

“Tindakan sitaan diambil mengikut Seksyen 46(1)d, Akta Jalan Parit dan Bangunan kerana meletakkan meja makan untuk pelanggan di kawasan awam sehingga menyebabkan kacau ganggu.

“Kita sedang semak lesen pemilik premis kerana ini merupakan kesalahan kali kelima,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut mengingatkan semua pemilik restoran lain supaya tidak meletak halangan terutama di kaki lima berhadapan restoran masing-masing kerana dikhuatiri membahayakan nyawa pelanggan.

“Pemantauan berterusan akan dilaksanakan dan kita tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap mana-mana individu didapati melakukan kesalahan,” katanya.