Categories
AGENDA NASIONAL

Pakej Prihatin: RM25 juta bantu golongan mudah terjejas

PUTRAJAYA, 27 MAC: Kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM25 juta kepada golongan mudah terjejas, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata golongan berkenaan termasuk warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya, gelandangan serta orang asal.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka,” katanya ketika mengumumkan pakej berkenaan yang disiarkan secara langsung di media elektronik.

Selain itu beliau berkata kerajaan juga akan memanjangkan manfaat ‘mySalam’ kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI), kerana jangkitan Covid-19.

“Pada masa ini, mySalam menyediakan manfaat kepada golongan B40 yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan Covid-19. Pesakit boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan turut membenarkan pengeluaran pra-persaraan daripada akaun B Skim Persaraan Swasta, sehingga RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dalam tempoh April hingga Disember, tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga akan memanjangkan pengecualian pembayaran sewa, bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan, dengan jumlah kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.

“Pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Bagi unit sewa untuk milik pula, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan, bagi pembayaran balik pembiayaan bermula April hingga September ini, melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah, jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bagi Perumahan Awam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memberi pengecualian sama yang memanfaatkan lebih 40,000 penyewa, dan beliau menyeru kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan lain, supaya memberikan pengecualian sama bagi meringankan beban penghuni PPR di negeri masing-masing.

-BERNAMA