Categories
AGENDA NASIONAL

Moratorium bayaran balik pinjaman RM55.2 bilion sehingga 13 Julai

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang dilaksanakan di bawah Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bermula sejak 1 April, 2020, berjumlah RM55.2 bilion setakat 13 Julai 2020.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata daripada jumlah tersebut sebanyak RM19.3 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala RM35.9 bilion dimanfaatkan oleh rakyat.

Menurutnya, tujuan moratorium, iaitu matlamat PRIHATIN ketiga (untuk memperkukuh ekonomi), adalah untuk memberikan kelegaan bagi rakyat dan perniagaan yang memerlukan dalam jangka masa enam bulan.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga melaksanakan langkah-langkah untuk menjana pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.

“Antara usaha-usaha ini termasuklah menyokong perniagaan dari segi mengekalkan pekerjaan melalui Program Subsidi Upah (di bawah Pelan PRIHATIN dan PRIHATIN PKS+) dan Program Subsidi Upah yang ditambah baik (di bawah Pelan PENJANA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata di bawah pelan PENJANA, kerajaan juga memberi insentif bagi pengambilan pekerja dan bantuan latihan serta insentif peningkatan kemahiran untuk belia dan penganggur agar nasib mereka terbela sekurang-kurangnya selama tiga bulan dan kekal berdaya saing apabila pasaran pekerjaan kembali rancak.

Manakala bagi yang masih terkesan mereka disarankan untuk segera berbincang dengan institusi bank masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Menurutnya, bank-bank juga sedang proaktif menghubungi peminjam secara bersasar untuk menawarkan khidmat nasihat bagi bantuan bayaran balik.

“Bagi matlamat pertama iaitu untuk melindungi rakyat, kerajaan telah mengagihkan sebanyak RM11.06 bilion bantuan prihatin Nasional (BPN) setakat 13 Julai melibatkan 10.4 juta penerima dan telah meluluskan 4.43 juta permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dengan pengeluaran kumulatif April-Julai sebanyak RM5.37 bilion.

“Bagi matlamat kedua pula iaitu bertujuan menyokong perniagaan, jumlah keseluruhan Geran Khas Prihatin untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bernilai lebih kurang RM1.64 bilion telah disalurkan memanfaatkan 545,000 PKS mikro,” kata Tengku Zafrul.

Menurutnya, bagi inisiatif Program Subsidi Upah untuk membantu majikan yang terkesan akibat Covid-19, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM7.79 bilion kepada lebih 2.53 juta pekerja, manakala, jumlah bayaran adalah sebanyak RM6.82 bilion yang memanfaatkan 2.49 juta pekerja.

Manakala bagi inisiatif ketiga kerajaan untuk membantu merancakkan perniagaan menerusi Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), setakat 13 Julai KWSP telah berjaya membantu 11,370 permohonan daripada 39,323 permohonan yang melibatkan RM76.1 juta bagi caruman KWSP majikan.

Bagi inisiatif keempat, sebanyak RM9.1 bilion Dana Pinjaman Mudah PKS telah diluluskan bank-bank tempatan yang melibatkan 20,545 PKS dan inisiatif kelima di bawah Skim Kredit Mikro BSN, sebanyak 10,264 permohohan diluluskan bernilai RM344.4 juta.

“Daripada jumlah yang diluluskan, pembayaran telah dibuat kepada 6,200 PKS melibatkan jumlah sebanyak RM223 juta.

“Bagi program TEKUN, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 25,502 bernilai RM194.63 juta dan daripada jumlah yang diluluskan, pembayaran telah dibuat kepada 22,989 PKS melibatkan jumlah sebanyak RM171 juta,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Diskaun bil elektrik pengguna domestik dilanjut hingga Disember

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Pemberian diskaun bil elektrik yang sebelum ini diumum bagi tempoh April hingga September 2020 dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 bagi semua pengguna domestik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata sehubungan itu, seramai 7.66 juta pengguna domestik di semenanjung akan terus menikmati diskaun bil elektrik di antara dua hingga 50 peratus dari 1 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020 sebagai lanjutan kepada diskaun elektrik yang diumumkan 27 Mac lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

“Pelanjutan ini turut terpakai bagi pengguna elektrik dengan penggunaan di antara 601 hingga 900kWj yang mula mendapat diskaun 10 peratus di bawah Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang diumumkan kerajaan pada 20 Jun,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengguna domestik di Sabah dan Sarawak pula akan terus menerima diskaun bil elektrik sebanyak dua peratus sehingga 31 Disember 2020 yang akan memanfaatkan kira-kira 520,000 orang di Sabah dan 580,000 orang di Sarawak.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan diskaun bil elektrik bermula April 2020 hingga September 2020 melibatkan semua pengguna di seluruh negara dalam usaha membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

Selasa lalu, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan bahawa pengguna bukan domestik akan menikmati penurunan surcaj sebanyak 2 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2020 manakala pengguna elektrik domestik kekal membayar kadar tarif sedia ada.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata pelanjutan diskaun selama tiga bulan bagi pengguna di Semenanjung akan dibiayai menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dengan anggaran sebanyak RM392 juta.

Beliau berkata diskaun bagi Sabah dan Sarawak pula akan dibiayai oleh Kementerian Kewangan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM6 juta.

“Ini menjadikan kos keseluruhan pemberian diskaun bil elektrik dari April hingga Disember 2020 adalah berjumlah RM2.62 bilion,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Hanya moratorium bersasar, tiada lanjutan menyeluruh – Ambank

KUALA LUMPUR, 30 JUN: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) berhasrat menyediakan moratorium bersasar bagi pembayaran semula pinjaman bank kepada pelanggannya selepas tempoh moratorium selama enam bulan berakhir, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sulaiman Mohd Tahir.

Beliau berkata lanjutan pelepasan pembiayaan secara menyeluruh bukanlah langkah wajar, mengambil kira persekitaran yang berbeza semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika kes Covid-19 memuncak, berbanding pasca PKP apabila perniagaan kembali menyambung semula operasi dalam fasa pemulihan.

“Kita perlu melihat kepada segmen tertentu dan kumpulan rakyat yang memerlukannya. Saya pasti bank berada dalam kedudukan untuk turut membantu, dari segi mereka yang amat terjejas akibat (pandemik itu).

“Bagaimanapun, saya rasa tidak wajar untuk memberikan moratorium menyeluruh seperti yang kita laksanakan sebelum ini, kerana pada masa itu, ketika PKP, situasinya agak teruk.

“Namun, keadaan telah berubah. Pasca PKP, kita menyaksikan aktiviti dan perniagaan meningkat; malah, beberapa perniagaan di luar sana berkata mereka tidak lagi memerlukan moratorium kerana telah memulakan aktiviti seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar maya selepas mengumumkan keputusan kewangan kumpulan bagi 2020 semalam.

Kelmarin, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata lanjutan moratorium bersasar adalah terpulang kepada bank, sambil menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian.

Beliau berpendapat bahawa bank perlu mengkaji bantuan yang disasarkan tetapi menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian berikutan ia dalam bidang kuasa mereka.

Sementara itu, keuntungan bersih AmBank Group merosot 10 .9 peratus kepada RM1.34 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2020 berikutan pendapatan suku akhirnya terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, perolehan menokok kepada RM9.32 bilion daripada RM9.12 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan pertumbuhan pendapatan faedah bersih dan pendapatan bukan faedah.

Pinjaman kasar dan asas pembiayaan kumpulan meningkat 5.3 peratus tahun ke tahun kepada RM107.2 bilion dengan pertumbuhan yang pelbagai dalam semua segmen dan produk, tanpa pembiayaan auto. Dengan pengecualian pembiayaan auto, pinjaman kasar kumpulan itu tumbuh 8.7 peratus pada tahun kewangan 2020.

Pinjaman gadai janji sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan pinjaman meningkat RM2.4 bilion atau 7.0 peratus pada tahun ini. Ini diikuti pinjaman kepada segmen PKS dan korporat pertengahan, pinjaman perbankan perniagaan bertambah 12.9 peratus, korporat pertengahan 9.5 peratus dan PKS runcit 34.8 peratus.

Sulaiman berkata bank itu menyasarkan pertumbuhan pinjaman antara 3.0 peratus dan 4.0 peratus bagi tahun kewangan ini iaitu lebih tinggi daripada pertumbuhan industri yang dijangkakan iaitu antara 0.4 peratus dan -2.5 peratus.

Menurutnya, pertumbuhan pinjaman tidak mencatatkan perubahan pada masa ini kerana tidak banyak aktiviti di pasaran dan kumpulan itu masih mempunyai beberapa pembayaran balik.

“Ia akan mengambil sedikit masa untuk ekonomi pulih kembali. Sudah pasti, kami berharap pemulihan berbentuk V agar kami boleh menjalankan perniagaan, namun ini adalah persoalan mengenai sistem dan situasi di dunia.

“Kami agak positif melihat unjuran dalam bulan terbaharu, terutamanya selepas PKP. Kami melihat sebahagian permohonan daripada sektor-sektor tertentu seperti pengilangan untuk membeli jentera. Ia adalah isyarat positif dan kami berharap ia akan berterusan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Tahap hutang negara mungkin cecah 55 peratus – menteri kewangan

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Tahap hutang negara berkemungkinan mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir tahun ini daripada 52 peratus ketika ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM260 bilion diikuti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion bagi menangani impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negara dengan suntikan fiskal langsung kerajaan sebanyak RM45 bilion.

“(Tetapi), saya pernah menyebut beberapa kali bahawa 97 peratus hingga 98 peratus hutang kita adalah hutang dalam negeri (negara).

“Ini penting kerana ia bermakna dedahan kita terhadap risiko turun naik mata wang asing adalah amat terhad,” katanya ketika membentangkan Laporan Ke-10 Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin dan Penjana di laman Facebook beliau di sini, hari ini.

Dalam temu bual baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata suntikan fiskal langsung berjumlah RM10 bilion ke dalam Penjana dijana menerusi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Beliau juga berkata Malaysia juga mempunyai kemampuan terhadap nisbah hutang 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal dapat diteruskan.

“Penganalisis, agensi penarafan dan pelabur memahami bahawa Malaysia seperti negara-negara lain, akan mencatatkan defisit yang lebih tinggi berikutan pelbagai langkah rangsangan ekonomi. Ya..defisit belanjawan Malaysia diunjurkan meningkat kepada 5.8-6.0 peratus,” katanya.

Sebelum ini, Belanjawan 2020 mengunjurkan defisit itu pada 3.4 peratus.

“Memandang ke hadapan, apa yang lebih penting adalah apa yang kita lakukan untuk memperbaiki keadaan ini.

“Kerajaan komited terhadap disiplin fiskal untuk mengembalikan defisit fiskal di bawah 4.0 peratus dalam tempoh 3 hingga 4 tahun akan datang,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs: Bayar elaun khas petugas barisan hadapan bersama gaji

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar elaun khas petugas barisan hadapan yang terlibat dengan pengurusan Covid-19 dibayar secara terus bersama gaji setiap bulan kepada petugas terbabit.

Presidennya Adnan Mat dalam kenyataan hari ini berkata ia bertujuan memudahkan cara pembayaran elaun kepada petugas berkenaan tanpa perlu mengisi borang yang sama setiap bulan, selain mengurangkan kerenah birokrasi.

“Cuepacs menerima banyak aduan dan rungutan mengenai kerenah birokrasi serta penetapan syarat yang dilihat merumitkan petugas barisan hadapan untuk membuat tuntutan elaun berkenaan.

“Elaun yang diberikan kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Jangan kita lunturkan semangat dengan kerenah birokrasi,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lepas mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta membendung Covid-19.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mereka akan menerima elaun khas RM200 sebulan.

Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Prihatin: Apa bakal dinikmati rakyat bermula hari ini?

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Bermula hari ini, rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat yang terjejas akibat wabak Covid-19 akan menerima dan boleh mula memohon pelbagai bantuan serta inisiatif digariskan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan kerajaan.

Selain Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan pada 27 Februari lalu, rakyat juga boleh menikmati pelbagai bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra pada 27 Mac 2020. Foto BERNAMA

Kedua-dua pakej yang keseluruhannya berjumlah RM250 bilion bertujuan melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Berikut antara bantuan dan inisiatif di bawah Prihatin bermula hari ini:

1. Elaun khas RM600 untuk petugas kesihatan dan perubatan

2. Elaun khas RM200 kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan anggota Rela

3. Penangguhan bayaran Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama enam bulan

4. Pemberian diskaun 15 peratus ke atas bil elektrik sektor pelancongan dan dua peratus bagi sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah di Semenanjung Malaysia

5. Diskaun tambahan penggunaan kadar elektrik. Kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad menambah peruntukan RM530 juta untuk memberi diskaun berperingkat antara 15 peratus hingga 50 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan

6. Pelanggan pascabayar dan prabayar akan diperuntukkan internet berkelajuan tinggi secara percuma, dengan kuota satu gigabait (GB) sehari, sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir

7. Bayaran ‘one-off’ kepada pemandu teksi sebanyak RM600

8. Penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk tempoh tiga bulan

9. Penangguhan bayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan selama enam bulan

10. Moratorium pembayaran pinjaman Tekun, Mara dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tempuh gelombang Covid-19, PKP dan Prihatin perisai rakyat

Oleh Siti Baaqiah Mamat dan Anis Nabilla Md Wazilah

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Malaysia, yang pertama kali menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melanjutkan perintah kawalan itu sehingga 14 April dengan lebih ketat, dalam usahanya memerangi wabak Covid-19 selepas fasa pertama berakhir tepat 12 tengah malam tadi.

Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP fasa pertama, pelbagai langkah dan usaha diambil sama ada di pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahupun orang perseorangan yang dilihat berganding bahu bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 yang boleh membawa maut.

Tegas mengambil tindakan untuk membendung penularan virus yang setakat semalam mengorbankan 43 nyawa dan menjangkiti 2,766 orang, kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang diklasifikasi sebagai zon merah Covid-19.

PKPD sehingga kini dikuatkuasakan di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang melibatkan 3,570 penduduk; Sungai Lui, Hulu Langat Selangor (3,918 orang di tujuh kampung) dan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, yang melibatkan 3,200 penghuni kondominium itu.

Polis melakukan sekatan jalan raya di Kampung Sungai Lui, Batu 21 Hulu Langat pada 30 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kawasan tersebut, mulai tengah malam tadi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pelaksanaan PKP, yang dilihat sebagai usaha segera untuk memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti, antara lain menyaksikan penguatkuasaan sekatan perjalanan keluar dari negeri masing-masing termasuk ke luar negara, menutup rumah ibadat, sekolah dan institut pengajian tinggi bagi melindungi rakyat.

Tempoh dua minggu yang tidak pernah dilalui rakyat di negara ini memberi pelbagai pengalaman baharu antaranya bekerja dari rumah, berkurung di rumah, hanya ketua keluarga dibenar membeli barangan keperluan, menggunakan aplikasi dalam talian untuk membeli barangan, kuliah dan mesyuarat secara telesidang dan memastikan amalan kebersihan diri tahap tinggi, serta jarakan sosial.

Sama ada tidak ambil peduli atau sengaja ingkar perintah, terdapat segelintir rakyat yang masih melepak, keluar rumah tanpa alasan munasabah dan ada juga yang beriadah, sehingga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu agar rakyat, untuk terus berada di rumah masing-masing, selama tempoh dua minggu itu.

Kerajaan turut meningkatkan penguatkuasaan dengan melakukan beberapa tangkapan terhadap individu yang masih ingkar, selain menggerakkan anggota tentera untuk membantu polis dalam menguatkuasakan PKP bermula 22 Mac.

Menerusi siaran televisyen dan radio, Muhyiddin beberapa kali muncul menyampaikan amanat dan perutusan kepada rakyat, mengenai langkah kerajaan untuk menangani wabak Covid-19 serta mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi, ekoran kesannya kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

Petugas kesihatan yang mengenakan pakaian perlindungan menjalankan ujian Covid-19 di Kuala Lumpur pada 23 Mac 2020. Foto REUTERS

Memberi tumpuan kepada kesihatan awam sebagai keutamaan, kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyokong usaha menangani Covid-19 dan membiayai pengambilan petugas baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

Sejumlah RM500 juta digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ‘ventilator’ dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan, bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

Tempoh PKP itu menyaksikan negara menerima pelbagai bantuan daripada negara luar, NGO dan rakyat, dalam pelbagai bentuk sama ada peralatan perubatan, sukarelawan, anggota perubatan dan kewangan.

Kapasiti makmal KKM yang terbabit dalam menjalankan ujian pengesanan Covid-19 diperluaskan, dengan bantuan daripada Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, yang menyediakan 10 makmal diagnostik tambahan.

Bagi membela nasib golongan yang terjejas akibat pelaksanaan PKP, kerajaan mengambil inisiatif drastik dengan membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM250 bilion, yang boleh diibaratkan sebagai ‘pucuk dicita ulam mendatang’.

Daripada keseluruhan jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dijangka teruskan momentum naik minggu depan

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Ringgit dijangka meneruskan momentum peningkatannya berbanding dolar AS minggu depan walaupun dalam dagangan berhati-hati, didorong oleh perkembangan ekonomi global dan domestik yang positif, kata peniaga.

Menurut peniaga, pengumuman langkah rangsangan oleh bank pusat global pada minggu ini dijangka mendorong pelabur antarabangsa untuk beralih kepada mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit.

Namun, pelabur global akan terus memantau petunjuk mengenai kesan ekonomi akibat penularan Covid-19.

Pada Khamis misalnya, Senat Amerika Syarikat secara sebulat suara menyokong rang undang-undang bernilai AS$2 trilion bagi membantu pekerja yang menganggur dan industri terjejas oleh wabak Covid-19 serta menyediakan berbilion dolar bagi membeli peralatan perubatan yang amat diperlukan.

Di peringkat tempatan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM250 bilion pada Jumaat bertujuan melindungi kesejahteraan rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi susulan impak pandemik Covid-19.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) juga dijangka menyuntik rasa optimis dalam kalangan pelabur.

Sementara itu, RAM Ratings pula menyifatkan langkah kelonggaran bayaran balik pinjaman yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal minggu ini akan mengekalkan kestabilan sistem perbankan berikutan kesan ketara yang disebabkan pandemik Covid-19.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit ditutup lebih lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.3280/3350 daripada 4.3947/4012 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Pada asas Jumaat-ke-Jumaat, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0175/0234 daripada 3.0303/0369 sebelumnya dan meningkat kepada 3.9754/9829 daripada 3.9811/9898 berbanding yen Jepun.

Ringgit bagaimana pun susut berbanding euro kepada 4.7608/7702 daripada 4.7204/7303 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2841/2943 daripada 5.1926/2042 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakej Prihatin: RM25 juta bantu golongan mudah terjejas

PUTRAJAYA, 27 MAC: Kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM25 juta kepada golongan mudah terjejas, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata golongan berkenaan termasuk warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya, gelandangan serta orang asal.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka,” katanya ketika mengumumkan pakej berkenaan yang disiarkan secara langsung di media elektronik.

Selain itu beliau berkata kerajaan juga akan memanjangkan manfaat ‘mySalam’ kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI), kerana jangkitan Covid-19.

“Pada masa ini, mySalam menyediakan manfaat kepada golongan B40 yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan Covid-19. Pesakit boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan turut membenarkan pengeluaran pra-persaraan daripada akaun B Skim Persaraan Swasta, sehingga RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dalam tempoh April hingga Disember, tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga akan memanjangkan pengecualian pembayaran sewa, bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan, dengan jumlah kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.

“Pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Bagi unit sewa untuk milik pula, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan, bagi pembayaran balik pembiayaan bermula April hingga September ini, melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah, jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bagi Perumahan Awam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memberi pengecualian sama yang memanfaatkan lebih 40,000 penyewa, dan beliau menyeru kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan lain, supaya memberikan pengecualian sama bagi meringankan beban penghuni PPR di negeri masing-masing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Pakej Prihatin ikut keupayaan fiskal negara

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM250 billion yang diumumkan hari ini berdasarkan keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan pakej tersebut berkata strategi dan langkah yang akan dilaksanakan adalah manifestasi kerajaan yang mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang sukar.

Selain itu, katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi.

“Hampir semua langkah ini adalah secara one-off (sekali) supaya tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana. Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan,” kata Muhyiddin.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra pada 27 Mac 2020. Foto BERNAMA

Beliau berkata langkah yang diperkenalkan dalam Pakej Prihatin ini bertujuan untuk memastikan aktiviti ekonomi negara berterusan, terutamanya dengan penyaluran tunai melalui Bantuan Prihatin Nasional.

Di samping itu, katanya, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan mengekalkan pekerjaan.

Perdana Menteri juga memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya di Sabah dan Sarawak, untuk memastikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan sampai dengan cepat.

Jelas beliau lagi, bagi menzahirkan keprihatinan dan kepedulian pimpinan kerajaan terhadap keperitan rakyat pada masa ini, perdana menteri serta jemaah menteri dan timbalan masing-masing telah bersetuju untuk memotong dua bulan gaji mereka untuk disalurkan ke Tabung Covid-19.

“Selain itu, saya juga mengarahkan semua Kementerian mengkaji semula belanjawan masing-masing untuk mencari penjimatan agar ianya dapat digunakan untuk menampung langkah-langkah jangka sederhana bagi menangani wabak virus ini.

“Saya juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan melalui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) untuk memastikan pakej Prihatin bernilai RM250 bilion ini sampai kepada rakyat dengan cepat,” katanya.

Muhyiddin dalam ucapan beliau turut meminta sokongan rakyat untuk berganding bahu dalam mengharungi krisis ini.

“Kita tidak sempurna, tetapi kita melakukan sedaya yang kita mampu untuk mengharungi krisis ini bersama-sama sebagai sebuah negara. InsyaAllah, apabila krisis ini berakhir kita akan bangkit semula dengan lebih kukuh lagi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Prihatin: Dana tambahan RM4.5 bilion bantu peniaga kecil

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk usahawan mikro, yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dana tambahan itu merangkumi lima inisiatif utama.

Inisiatif pertama, katanya, RM3 bilion akan di masukkan ke dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas bagik PKS yang akan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM5 bilion.

“Kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus,” kata Muhyiddin semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di sini, hari ini.

Kedua, saiz dana di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi ditingkatkan sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

Manakala, ketiga, dana tambahan sebanyak RM500 juta disediakan di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

“Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2.0 peratus sahaja tanpa cagaran.

“Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi,” katanya sambil menambah amaun pembiayaan ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, pengendali bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga dalam talian.

inisiatif keempat, katanya, PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun boleh juga memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i oleh Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Bhd untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

Manakala inisiatif Kelima, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

“Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, saya percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

10 NGO Islam Gesa Rakyat Tolak Politik Lucah, Samseng Dan Rasuah

politik lucah 01

SHAH ALAM, 12 APRIL : 10 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama negara ini menggesa rakyat menolak sama sekali amalan politik lucah yang cuba dijadikan sebagai alat untuk mencari populariti politik dalam jangka pendek.

Dalam kenyataan media bersama itu NGO-NGO Islam memandang berat perbuatan mencipta video lucah, mempertontonkan bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina ke atas seseorang sewenang-wenangnya di khalayak ramai.

“Umat Islam perlu mengelakkan implikasi ini dengan menolak amalan politik keji ini serta tidak bersubahat mengembangkan mana-mana dakyah berkaitan dalam mana-mana saluran media,” kata kenyataan media bersama itu.

NGO-NGO Islam itu juga menyatakan pendirian agar umat Islam di negara ini rakyat menolak budaya politik fitnah dalam amalan demokrasi di negara ini.

“Walaupun demokrasi membuka ruang seluas-luasnya untuk semua warga mengekspresikan pandangan serta kritikan, demokrasi tidak seharusnya dicemari dengan amalan fitnah yang keji serta akan hanya mencemarkan kehormatan dan kesucian akal fikiran manusiawi.

“Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat,” kata mereka.

Mereka juga menyeru umat Islam untuk menolak sekeras-kerasnya amalan rasuah serta peras ugut daripada dikenakan ke atas rakyat.

“Kami khuatir amalan rasuah dan peras ugut ini akan terus membelenggu umat Islam dalam ikatan kemiskinan sekiranya ia terus berleluasa.

“Amalan-amalan tersebut adalah bentuk penjajahan baru yang menafikan hak para pengundi untuk mendapatkan apa yang terbaik ke atas diri mereka,” kata mereka.

NGO-NGO tersebut terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kumpulan PRIHATIN, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Persatuan Hafiz Malaysia (PAHAM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Turut sama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Ulama? Malaysia (PUM), Sekretariat Himpunan Ulama? Rantau Asia (SHURA), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).