Categories
PBT SELANGOR

Peniaga Pasar Pagi diarah henti operasi

BANTING, 18 MAC: Seramai 30 peniaga di Pasar Pagi Teluk Bunut di sini diarah menghentikan operasi perniagaan apabila mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohamad Zain A Hamid berkata pihaknya mengesan aktiviti jual beli berjalan seperti biasa di kawasan terbabit sekitar jam 8 pagi.

“Peniaga diberi tempoh setengah jam untuk mengemas dan menutup perniagaan selepas arahan lisan dikeluarkan anggota penguat kuasa.

“Notis ingar arahan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran dikeluarkan termasuk membuka kertas siasatan untuk pendakwaan di bawah Seksyen 24(a) Akta 342 jika mendapati peniaga masih berniaga.

“Tapi lebih kepada kuasa polis dan sebab itu atas perintah Akta Polis 1967 diguna pakai,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 10 saat di media sosial menunjukkan penguat kuasa MPKL mengarahkan orang awam menghentikan aktiviti jual beli menggunakan pembesar suara.

Selain pasar berkenaan, MPKL turut mengesan dua lagi pasar pagi iaitu Pasar Pagi Banting dan Pasar Pagi Jenjarom turut beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, Mohamad Zain menegaskan kegiatan itu berlaku bukan disebabkan kegagalan penguatkuasaan sebaliknya kedegilan peniaga yang tidak mematuhi arahan.

“Justeru, MPKL dan semua agensi terlibat akan sentiasa membuat pemantauan berkaitan situasi itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan meliputi larangan menyeluruh pergerakan serta perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya bermula hari ini sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Perintah kawalan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 turut melibatkan arahan penutupan semua rumah ibadat serta premis perniagaan kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.