Categories
AGENSI SELANGOR

Penjawat awam terus bertugas walau dari rumah

SHAH ALAM, 18 MAC: Penjawat awam Selangor terus menjalankan tugas seperti biasa walaupun terpaksa beroperasi dari rumah sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac ini.

Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Nur Fadhilah Jalaludin berkata beberapa kertas kerja persediaan program selepas tempoh perintah tamat perlu disiapkan seperti biasa.

Beliau berkata MPKL melakukan penggiliran tugas sebagai langkah mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan kakitangan khususnya membabitkan jabatan yang sentiasa berhubung dengan orang awam.

“Ada beberapa jabatan yang perlu membuat kerja dari rumah seperti menyiapkan laporan audit dan perkembangan persiapan program seperti waktu kerja biasa di pejabat.

“Semua perkara perlu dimaklumkan kepada ketua jabatan masing-masing dan sekiranya ada arahan serta keperluan mendesak sahaja kakitangan perlu hadir ke pejabat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Ketua Jabatan Bahagian Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS) Ima Syuhada Ismail berkata arahan dikeluarkan supaya semua kakitangan berada dalam keadaan bersedia walaupun bertugas seperti biasa bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, ia terpakai untuk tempoh dua minggu dan kakitangan masih perlu ‘clock in’ waktu bertugas sama seperti di pejabat.

“Ketua jabatan perlu memantau tugas dan kakitangan akan menggunakan aplikasi Skype jika ada mesyuarat penting. Sepanjang tempoh itu juga kakitangan perlu memaklumkan perkembangan tugas masing-masing untuk direkodkan.

“LZS turut melaksanakan penggiliran tugasan di bahagian tertentu sahaja,” katanya menambah operasi di peringkat cawangan LZS seluruh negeri pula dihadkan bagi urusan terima dan serah borang sahaja bermula jam 10 pagi hingga 3 petang sebagai langkah pencegahan penularan wabak.

Di peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya pula, semua kakitangan bahagian korporat tetap menjalankan kerja pemantauan di semua landasan laman sosial bagi memberikan perkembangan terkini operasi kepada orang awam, kata penolong pengarah kanannya.

Helda Syima Abu Talab berkata arahan terbabit terpakai untuk tempoh dua minggu dan kakitangan diwajibkan ‘clock in’ kepada ketua jabatan menerusi aplikasi WhatsApp serta pelaporan tugas dilakukan seperti biasa dengan perlu hadir ke pejabat jika diarahkan.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Selangor melaksanakan pendekatan berbeza iaitu hanya membenarkan kakitangannya keluar untuk membeli barangan keperluan rumah sahaja, kata pegawainya.

Mardzuki Yaacob berkata semua kakitangan perlu mematuhi arahan itu demi menjaga kesihatan di samping bersedia ke pejabat sekiranya diarahkan.

“Semua kakitangan tidak dibenarkan pulang ke kampung sepanjang tempoh perintah kawalan ini dan kekal di rumah masing-masing bersama keluarga tetapi dalam ‘mood standby’ perlu bertugas dari rumah seperti biasa,” katanya.