Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kawalan: Elak berkumpul, dobi layan diri perlu tutup

SHAH ALAM, 18 MAC: Dobi layan diri tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, yang berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Mac, maklum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kementerian memaklumkan larangan tersebut bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di premis berkenaan, lapor Berita Harian.

Katanya, restoran, seksyen Sedia Dimakan (RTE) dan bakeri boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang dan pandu lalu atau melalui khidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu.

“Medan selera boleh beroperasi tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui khidmat penghantaran.

“Di pasar raya besar, hanya penyewa yang beroperasi dalam industri farmasi klinikal dibenarkan untuk terus beroperasi,” katanya dalam jawapan kepada soalan lazim bagi sektor peruncitan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.

Kementerian turut menggalakkan pasar raya melakukan kawalan kendiri bagi menangani pembelian barangan makanan dan keperluan harian dengan jumlah tidak munasabah oleh pengguna.

Sementara itu, katanya, operasi pusat pengedaran membabitkan bekalan barangan keperluan dan makanan merangkumi gudang e-dagang dan perkhidmatan gudang sokongan boleh terus beroperasi.