Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jauhi perhimpunan, kawasan jangkitan

SHAH ALAM, 18 MAC: Jabatan Peguam Negara menyiarkan Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Warta itu memaklumkan peraturan perlu dipatuhi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 31 Mac nanti.

Ia menyenaraikan kawalan pergerakan dan perhimpunan iaitu tidak boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain kecuali untuk melaksanakan tugas rasmi, mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan serta membeli, membekal atau menghantar makanan dan keperluan harian.

Orang ramai turut dilarang terlibat dalam perhimpunan sama ada keagamaan, sukan, rekreasi, sosial dan kebudayaan – jika upacara pengebumian bilangan orang perlu pada tahap minuman.

Selain itu tiada seorang pun boleh bergerak dari kawasan jangkitan ke kawasan jangkitan lain kecuali mendapat kebenaran bertulis pegawai polis.

Warta tersebut menjelaskan hanya 22 sektor penting yang dibenarkan beroperasi iaitu:

1. Perbankan dan kewangan
2. Elektrik dan tenaga
3. Bomba
4. Perkhidmatan pelabuhan, limbungan, lapangan terbang, pemunggahan, pengangkutan, pengendalian kargo, pemalimam dan penyimpanan atau pemukalan komoditi
5. Pos
6. Penjara
7. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan, pengagihan bahan api dan pelincir
8. Jagaan kesihatan dan perubatan
9. Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam
10. Pembentungan
11. Komunikasi radio, penyiaran dan televisyen
12. Telekomunikasi
13. Pengangkutan darat, air dan udara
14. Air
15. E-dagang
16. Pertahanan dan keselamatan
17. Pembekalan makanan
18. Hidupan liar
19. Imigresen
20. Kastam
21. Hotel dan penginapan
22. Perkhidmatan atau kerja yang ditentukan menteri sebagai kritikal kepada kesihatan atau keselamatan awam

Warta tersebut menyatakan mereka yang melanggar mana-mana peruntukan dalam peraturan boleh disabitkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya.