Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Waktu operasi perniagaan 8 pagi hingga 8 malam bermula 1 April

PUTRAJAYA, 30 MAC: Semua premis perniagaan menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan juga perlu beroperasi pada waktu yang sama dalam tempoh fasa kedua itu.

“Pihak kerajaan menggalakkan supaya orang ramai menggunakan pembelian secara dalam talian dan kita nasihatkan supaya mengelak daripada bersemuka dengan pihak yang menghantar barangan itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di sini, hari ini.

Rabu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang dikuatkuasa 18 Mac lepas dan sepatutnya berakhir esok (31 Mac) dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, menegaskan walaupun sekatan dipertingkat, ia berbeza dengan keadaan di Simpang Renggam, Johor dan Hulu Langat, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang mana penduduk tidak dibenarkan keluar dan orang luar langsung tidak dibenarkan masuk di kawasan berkenaan.

Malah, beliau berkata situasi sekatan itu juga jauh berbeza dengan perintah berkurung seperti diuar-uarkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Pada tahap kedua ini kita percaya ia tentu berbeza, ingin saya tegaskan sekatan di fasa kedua masih benarkan pergerakan, kedai-kedai masih dibuka seperti biasa cuma mungkin daripada kawalan masa,” katanya.

Selain waktu operasi premis perniagaan, Ismail Sabri berkata dalam fasa kedua berkenaan, waktu operasi kenderaan juga dikawal.

Ini termasuk waktu operasi perkhidmatan awam yang kekal dihadkan dari 6 pagi hingga 10 pagi, dan dari 5 petang hingga 10 malam sahaja, manakala kenderaan persendirian hanya dibenarkan antara pukul 6 pagi sehingga 10 malam, termasuk perkhidmatan e-Hailing dan teksi.

“Semua kenderaan persendirian hanya dibenarkan seorang sahaja iaitu pemandu kecuali waktu kecemasan,” katanya.

Untuk pengangkutan komersial melibatkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan, Ismail Sabri berkata mereka digalakkan beroperasi dari 7 malam sehingga 7 pagi, namun jelasnya ia bukanlah satu arahan.

“Ada yang memerlukan jangka masa panjang untuk beroperasi, mungkin dari Johor Bahru ke Perlis tak boleh selesai… jadi kita bersetuju supaya pengecualian diberikan, walaupun kita galakkan beroperasi pada waktu sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya bagi aktiviti riadah dan sosial sepanjang fasa kedua PKP, semua tempat tidak dibenarkan tidak kira kawasan awam atau persendirian walaupun ia kawasan berpagar.

“Kita tak nak membezakan yang dalam kawasan berpagar mahupun di luar, siapa sahaja, undang-undang kita sama merangkumi semua tak ada perbezaan dari segi penguatkuasaan.

“Tetapi kita ada kelonggaran untuk golongan autisme dan Orang Kelainan Upaya untuk menjalani terapi seperti dinasihatkan pakar. Bagaimanapun, kita melarang secara berkumpulan, walaupun ia diperlukan di luar,” katanya.

Mengenai aktiviti di rumah ibadat, Ismail Sabri berkata semua aktiviti masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP sepertimana sebelum ini termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat.

– BERNAMA