Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelawat asing dapat ‘lampu hijau’ masuk Malaysia untuk perubatan

SHAH ALAM, 19 JUN: Kemasukan pelancong asing untuk perubatan dibenarkan tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagaimanapun, mereka perlu mendaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia dan menjalani saringan Covid-19 di negara masing-masing, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

“Jika tidak, pelancong asing wajib berbuat demikian di pintu masuk Malaysia tanpa perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari,” menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kemasukan kumpulan ekspatriat membabitkan pengurusan tertinggi sesebuah syarikat juga dibenarkan selagi menjalani saringan sebelum berlepas ke Malaysia.

“Jika negatif (Covid-19), mereka tidak perlu dikuarantin wajib tetapi jika datang dari zon merah, mereka perlu kuarantin di rumah selama 14 hari,” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata kebenaran turut diberikan kepada pakar teknikal asing bagi kerja-kerja khas tetapi perlu memohon visa secara dalam talian dan menjalani saringan.

Sementara itu, katanya, rakyat Singapura dan Brunei boleh memasuki Malaysia, namun tertakluk kepada syarat timbal balas kedua-dua negara.

“Kita memerlukan kelonggaran sama diberikan kepada rakyat Malaysia dan perkara ini sedang dibincangkan antara Wisma Putra bersama Kementerian Luar negara tersebut,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

144 kompaun langgar larangan rentas negeri dikeluarkan semalam – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 31 MEI: Polis mengeluarkan 144 kompaun terhadap pemandu yang berdegil dan melanggar larangan rentas negeri semalam, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masih ada individu melanggar larangan berkenaan dengan memberi pelbagai alasan walaupun kerajaan berulang kali memberi amaran.

“Berdasarkan statistik yang diterima, Perak merekodkan cubaan rentas negeri tertinggi dengan 42 kompaun diikuti Selangor 32 kompaun serta Pulau Pinang dan Johor masing-masing 24 kompaun.

“Statistik ini menunjukkan masih ada yang cuba merentas diri dan kita tidak akan bertolak ansur terhadap pesalah ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata polis turut menahan 158 individu kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

“Daripada jumlah tersebut seramai 157 telah direman manakala satu individu dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: 1,095 individu ditahan, 815 kompaun dikeluarkan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seramai 1,095 individu ditahan polis menerusi sekatan jalan raya semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 815 kompaun dikeluarkan dengan denda RM1,000, manakala 245 individu direman serta 38 lagi dijamin.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac hingga 10 April adalah sebanyak 7,759 individu. Seramai 373 dituduh di mahkamah,” kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan bermula semalam pihak polis mengambil ketetapan tidak lagi berkompromi terhadap sesiapa sahaja.

Menurut beliau tangkapan akan dilakukan kepada mereka yang masih ingkar serta degil arahan PKP.

“Mereka yang ditangkap dan dituduh di mahkamah bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Melalui hukuman tersebut kata beliau, mereka boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua pula, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda atau kedua-duanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling penutup hidung, mulut RM1.50 seunit – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 30 MAC: Kerajaan menetapkan harga siling baharu bagi penutup hidung dan mulut atau topeng muka adalah RM1.50 seunit berkuat kuasa 1 April ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata harga baharu itu lebih murah berbanding yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM2.00 seunit.

“Topeng muka tidak banyak dikeluarkan dalam negara tetapi kebanyakannya diimport, jadi kita juga terikat dengan harga diimport.

“Kita mengkaji dari semasa ke semasa harga (topeng muka) itu dan jika didapati harga dibeli sudah pun menurun daripada harganya, kita berkemungkinan kaji balik dan umum harga baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sama ada kerajaan akan menetapkan harga bagi cecair pembasmi kuman, Ismail Sabri menjelaskan perkara itu dibincangkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya ada keperluan.

Beliau berkata situasi harga barangan cecair pembasmi kuman berbeza dengan situasi harga penutup hidung dan mulut memandangkan barangan berkenaan mempunyai jenama berbeza-beza.

“Setakat ini, KPDNHEP belum menetapkan harga untuk cecair pembasmi kuman kerana barangan ini mempunyai jenama  berbeza dan harganya mungkin berbeza kerana ada yang diimport dan tempatan.

“Jadi kita tiada lagi ketetapan harga terkawal untuk cecair pembasmi kuman, berbeza dengan topeng muka. Namun, saya akan berbincang dengan pihak KPDNHEP jika ada keperluan,” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Waktu operasi perniagaan 8 pagi hingga 8 malam bermula 1 April

PUTRAJAYA, 30 MAC: Semua premis perniagaan menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan juga perlu beroperasi pada waktu yang sama dalam tempoh fasa kedua itu.

“Pihak kerajaan menggalakkan supaya orang ramai menggunakan pembelian secara dalam talian dan kita nasihatkan supaya mengelak daripada bersemuka dengan pihak yang menghantar barangan itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di sini, hari ini.

Rabu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang dikuatkuasa 18 Mac lepas dan sepatutnya berakhir esok (31 Mac) dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, menegaskan walaupun sekatan dipertingkat, ia berbeza dengan keadaan di Simpang Renggam, Johor dan Hulu Langat, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang mana penduduk tidak dibenarkan keluar dan orang luar langsung tidak dibenarkan masuk di kawasan berkenaan.

Malah, beliau berkata situasi sekatan itu juga jauh berbeza dengan perintah berkurung seperti diuar-uarkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Pada tahap kedua ini kita percaya ia tentu berbeza, ingin saya tegaskan sekatan di fasa kedua masih benarkan pergerakan, kedai-kedai masih dibuka seperti biasa cuma mungkin daripada kawalan masa,” katanya.

Selain waktu operasi premis perniagaan, Ismail Sabri berkata dalam fasa kedua berkenaan, waktu operasi kenderaan juga dikawal.

Ini termasuk waktu operasi perkhidmatan awam yang kekal dihadkan dari 6 pagi hingga 10 pagi, dan dari 5 petang hingga 10 malam sahaja, manakala kenderaan persendirian hanya dibenarkan antara pukul 6 pagi sehingga 10 malam, termasuk perkhidmatan e-Hailing dan teksi.

“Semua kenderaan persendirian hanya dibenarkan seorang sahaja iaitu pemandu kecuali waktu kecemasan,” katanya.

Untuk pengangkutan komersial melibatkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan, Ismail Sabri berkata mereka digalakkan beroperasi dari 7 malam sehingga 7 pagi, namun jelasnya ia bukanlah satu arahan.

“Ada yang memerlukan jangka masa panjang untuk beroperasi, mungkin dari Johor Bahru ke Perlis tak boleh selesai… jadi kita bersetuju supaya pengecualian diberikan, walaupun kita galakkan beroperasi pada waktu sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya bagi aktiviti riadah dan sosial sepanjang fasa kedua PKP, semua tempat tidak dibenarkan tidak kira kawasan awam atau persendirian walaupun ia kawasan berpagar.

“Kita tak nak membezakan yang dalam kawasan berpagar mahupun di luar, siapa sahaja, undang-undang kita sama merangkumi semua tak ada perbezaan dari segi penguatkuasaan.

“Tetapi kita ada kelonggaran untuk golongan autisme dan Orang Kelainan Upaya untuk menjalani terapi seperti dinasihatkan pakar. Bagaimanapun, kita melarang secara berkumpulan, walaupun ia diperlukan di luar,” katanya.

Mengenai aktiviti di rumah ibadat, Ismail Sabri berkata semua aktiviti masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP sepertimana sebelum ini termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PR kenal pasti punca kenaikan harga gula

tony-pua

KUALA LUMPUR 29 OKT : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa harga gula melonjak naik disebabkan tindakan kerajaan pusat menandatangani perjanjian beli gula mentah dengan harga terlalu tinggi dan bukan kerana penghapusan subsidi.

Tony mendakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Penggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan menandatangani perjanjian tiga tahun untuk mengimport gula mentah dengan harga US25 setiap 100lbs, pada Januari 2012.

Katanya, ekoran perjanjian itu rakyat terpaksa menikmati gula yang lebih mahal dan mendakwa mengkritik kerajaan ketika perjanjian itu dimeterai ekoran pembelian gula mentah dengan harga yang lebih mahal daripada harga pasaran iaitu US23.42.

“Harga gula ketika ini US18.91 setiap 100lbs yang membolehkan kerajaan tidak perlu menanggung sebarang subsidi dan harga gula menjadi lebih murah daripada RM2.84 sekilogram yang ditetapkan.

“Barisan Nasional (BN) menggunakan pelbagai helah sebagai alasan untuk menghapuskan baki subsidi RM521 juta setahun. Alasannya, dengan mengaitkan kematian mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak akibat diabeties, termasuk nasihat dengan mengurangkan gula dapat meningkatkan libido, tetapi rakyat yang terpaksa membayar mahal,” katanya di Parlimen, di sini, hari ini.

Tony berkata, perbezaan harga kontrak melebihi 10 peratus daripada harga pasaran menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM64 juta setiap tahun.

“Ketika itu, saya sudah memberi amaran kepada kerajaan bahawa semua laporan penganalisis antarabangsa meramalkan harga gula akan menurun akibat ‘excessive supply’. Tetapi, tidak dihiraukan dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir menjawab harga gula mentah dunia diramal terus meningkat pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan membeli gula dengan 55.7 peratus lebih mahal daripada harga pasaran, bulan ini kerana harga gula antarabangsa menjunam sehingga serendah US16.70 setiap 100lbs, pada September 2013.

“Walaupun harga gula mentah meningkat sedikit bulan ini pada kadar US18.91, namun ia masih jauh lebih murah daripada harga yang diimport kerajaan. Kerajaan terlebih bayar RM194 juta atau pengimportan 2.37 bilion paun gula mentah setiap tahun dan perlu bertanggungjawab kerana membuat keputusan tidak wajar serta menyusahkan rakyat,” katanya.

-NFN-