Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tegur lelaki suspek Covid-19

OLEH NORRASYIDAH ARSHAD

SHAH ALAM, 13 MAC: Individu yang disyaki atau terkena jangkitan Covid-19 harus memberi kerjasama terutama kepada pegawai kesihatan demi keselamatan diri dan orang awam, kata Ketua Polis Negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador menyelar mana-mana individu yang melarikan diri apabila diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dikuarantin atau menjalani pemeriksaan kesihatan.

Katanya, tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab dan berisiko mendatangkan bahaya kepada individu lain.

“Tolonglah patuh kepada sebarang arahan daripada pegawai perubatan bertauliah, pihak hospital dan KKM dan jangan mengambil sikap mementingkan diri sendiri dengan lari dan hilangkan diri kerana tindakan itu menyusahkan serta meletakkan anak buah saya (pasukan Polis Diraja Malaysia) dalam keadaan risiko yang tinggi.

“Ini kerana usaha untuk mengesan dan membawa balik pesakit Covid-19 yang melarikan diri ini memakan masa serta memerlukan persediaan rapi dan membebankan kerana boleh menjangkiti orang lain,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

.Semalam, seorang lelaki berusia 54 tahun yang mempunyai tanda penyakit Covid-19 selepas menyertai perhimpunan tabligh di Sri Petaling pada 27 Februari lalu menghilangkan diri selepas diarahkan menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Bukit Naga di Seksyen 32.

Susulan itu, doktor di klinik kesihatan berkenaan membuat laporan polis bagi membantu mengesan lelaki berkenaan.