Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor: Ahli politik jangan kucar-kacirkan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 16 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengingatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) di negeri ini supaya tidak mengucar-kacirkan pentadbiran kerajaan Selangor.

“Beta tidak mahu ada dalam kalangan ahli-ahli Yang Berhormat yang mempunyai hasrat dan niat untuk mengucar-kacirkan pentadbiran dan pemerintahan negeri Selangor,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada istiadat pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor penggal ke-14 di sini, hari ini.

Titah baginda, rakyat penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda negara selepas pilihan raya umum ke-14 sedangkan rakyat berdepan kemelesetan ekonomi dan wabak Covid-19.

“Ahli politik dilihat sering berbalah dalam isu politik yang tiada kesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah untuk mentadbir faedah kesejahteraan rakyat,” titahnya.

Justeru, Sultan Sharafuddin bertitah rakyat memerlukan tumpuan ADN bagi mendepani krisis dan perkara itu hanya dapat ditangani melalui pertumbuhan ekonomi dan dasar yang menguntungkan rakyat.

“Bukan sibuk berbalah di dalam merebut kuasa dan kedudukan. Wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk bekerja serta berkhidmat membantu rakyat demi memastikan rakyat dapat mencapai kemakmuran serta menikmati kekayaan Selangor,” titah baginda.