Categories
AGENDA NASIONAL

Tabung Covid-19: Individu dijangkiti virus layak dapat RM100 sehari

SHAH ALAM, 11 MAC: Individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau gaji sepanjang tempoh dikuarantin susulan Covid-19 bakal menerima wang ihsan RM100 sehari, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata wang daripada Tabung Covid-19 yang dilancarkan kerajaan membabitkan individu yang dikuarantin selama 14 hari atau menerima rawatan di hospital berikutan positif wabak, lapor Berita Harian.

“Ini adalah wang ihsan bagi meringankan beban mereka yang terkesan dan tabung terbabit diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

“Bagaimanapun, mereka yang mempunyai pendapatan tetap seperti kakitangan kerajaan, tidak layak menerima sumbangan ihsan daripada tabung berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi di Bandar Enstek, Nilai hari ini.

Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 20 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 149, termasuk 26 yang pulih.