SHAH ALAM, 15 APRIL: Seramai 14,922 orang ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan fasa satu dan dua yang berakhir semalam, kata pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit Aman.
Datuk Huzir Mohamed berkata pada fasa pertama perintah kawalan yang bermula 18 hingga 31 Mac seramai 3,627 ditahan manakala 11,295 ditahan ketika fasa kedua.
“Seramai 5,830 dihadapkan ke mahkamah sepanjang tempoh itu manakala enam individu ditahan sebanyak dua kali kerana berada di luar rumah tanpa alasan munasabah,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung di Facebook Polis Diraja Malaysia hari ini.
Huzir berkata bagi fasa ke tiga PKP, pihak polis akan terus mendakwa mereka yang melanggar peraturan di mahkamah seperti diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita hendak memastikan orang ramai mengikuti arahan ditetapkan pada perintah kawalan untuk menghentikan penularan Covid-19.
“Pada masa sama, polis akan terus membuat pemberitahuan awam supaya mereka memahami pelaksanaan perintah kawalan,” katanya.