Categories
AGENDA NASIONAL

4,471 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dari 2017 hingga 1 September lalu

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Sebanyak 4,471 kes kehilangan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dilaporkan dari 2017 hingga 1 Sept tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada jumlah itu, 4,399 orang kanak-kanak telah dijumpai semula manakala 72 orang lagi masih hilang.

Bagi kes orang hilang berumur 18 tahun dan ke atas pula, beliau berkata sebanyak 6,074 kes dilaporkan dalam tempoh sama dengan 4,871 orang telah dijumpai semula manakala 1,203 orang masih hilang.

“Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini adalah dengan mewujudkan Portal Kanak-kanak Hilang. Maklumat berkenaan dipaparkan di portal https://knk2hilang.rmp.gov.my yang boleh diakses oleh orang awam.

“Portal ini memberi peluang kepada masyarakat untuk bekerjasama mengesan kanak-kanak yang hilang dengan lebih cepat dan berkesan dengan menyalurkan maklumat yang terkini melalui Internet,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Ismail menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong yang ingin tahu mengenai statistik bilangan kes kehilangan orang dan kanak-kanak yang dilaporkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun sebelum ini termasuk bilangan orang telah ditemui dan masih belum ditemui serta langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah itu.

Selain itu, beliau berkata PDRM juga menjalin kerjasama dengan 40 agensi lain melalui NUR Alert iaitu sistem amaran awal bagi kes kehilangan kanak-kanak untuk membantu agensi penguatkuasa undang-undang dalam menjalankan siasatan dan membawa kepada tangkapan yang pantas.

“PDRM turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam penganjuran program-program kesedaran untuk mengelakkan kes ini daripada berulang. Kempen Kesedaran Kanak-kanak atau Child Awareness Campaign (CAC) bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa kanak-kanak mudah terdedah menjadi mangsa dan adalah penting untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md Arip, Ismail berkata berdasarkan siasatan PDRM, antara sebab orang hilang adalah mengalami masalah keluarga atau kurang mendapat perhatian keluarga; keluar rumah kerana mengikut rakan sebaya atau kekasih untuk mencari kebebasan; kemurungan; nyanyuk, masalah mental atau tidak siuman dan masalah jenayah.

Selain itu, katanya orang hilang juga merangkumi orang yang mencari pekerjaan, hilang daripada keluarga mungkin ada perselisihan faham dengan keluarga; lari dari pengutip hutang dan penderaan fizikal atau mental.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tumpas sindiket tipu e-dagang, 10 ditahan

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan E-Dagang selepas melakukan serbuan di Lembah Klang, Perak, Kedah dan Kelantan serta menahan 10 orang, empat daripadanya wanita semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kesemua yang ditahan itu berusia 21 hingga 52 tahun, terdiri daripada empat pemilik akaun bank dan selebihnya pemilik alamat Internet Protocol (IP) yang digunakan untuk melakukan kegiatan itu.

“Siasatan mendapati modus operandi sindiket ialah mengiklankan barangan melalui platform E-Commerce (E-Dagang) dan menghubungi pembeli yang berminat sebelum diarahkan untuk berurusan secara terus dengan suspek, namun barang yang dijanjikan tidak diterima setelah bayaran dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis merampas tujuh telefon bimbit, tiga komputer riba, 10 kad kredit, tiga modem dan satu passport Bangladesh.

Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 28 kes lain susulan penahanan itu, katanya.

Mohd Kamarudin berkata sebanyak 4,364 kes penipuan E-Dagang dicatatkan dalam tempoh 1 Jan hingga 20 Jun tahun ini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada apabila membuat pembelian barangan dalam talian dan sentiasa berurusan melalui platform E-Dagang yang sah dan digalakkan untuk membuat semakan pengesahan akaun bank serta nombor telefon di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule

“Elak berurusan secara terus dengan pihak penjual terutama yang tidak dikenali dan tidak mendedahkan identitinya,” tegasnya.

Orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Resourse Center melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah dalam talian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan lelaki seret kucing guna motosikal

TELUK INTAN, 6 JUN: Seorang lelaki yang dipercayai menyeret seekor kucing dalam satu video yang tular di laman media sosial sejak semalam di Kampung Melayu, Langkap, dekat sini, menyerah diri kepada pihak polis semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan ketika hadir untuk menyerah diri di Balai Polis Langkap pada kira-kira jam 9.15 malam.

“Suspek datang sendiri ke Balai Polis Langkap untuk buat laporan penafian selepas diberitahu keluarganya berkaitan video yang tular itu.

“Menurut suspek, dia menangkap kucing itu untuk dibuang di kawasan kedai makan berdekatan rumahnya. Suspek menggunakan sauk untuk menangkap kucing itu dan semasa perjalanan, tiba-tiba kaki depan kucing terkeluar dari jaring sauknya menyebabkan kucing itu terseret di atas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata suspek dilepaskan dengan jaminan polis pagi tadi namun kes masih lagi disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Rakaman video berdurasi 34 saat itu memaparkan seorang lelaki sedang menyeret seekor kucing dengan menunggang motosikal dan mendapat kecaman netizen yang mahu lelaki tersebut diambil tindakan sewajarnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Judi dalam talian: Empat lelaki warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Polis menahan empat lelaki warga China disyaki menjalankan sindiket pusat panggilan perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan saham, di sebuah unit kondominium di Mont Kiara, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Saiful Annuar Yusoff berkata kesemua suspek berumur 26 hingga 32 tahun itu yang ditahan pada 6.35 petang didapati menyasarkan mangsa dari China bagi mengaut keuntungan.

Beliau berkata mereka yang menjalankan kegiatan terbabit didapati telah menyewa premis berkenaan sejak lima bulan lepas dengan kadar sewa RM8,000 sebulan.

“Suspek juga menerima bayaran gaji sebanyak RM6,500 sebulan berikutan penglibatan mereka dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saiful Annuar berkata hasil serbuan antaranya turut merampas sembilan komputer riba, 26 buah telefon bimbit, satu unit modem selain wang tunai tempatan RM95,550 dan wang tunai asing dengan nilai rampasan kesemuanya berjumlah RM180,000.

“Susulan itu, kesemua suspek ini direman hari ini bagi meneruskan siasatan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi terbuka dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun selepas pemeriksaan di dalam kenderaannya di kawasan perumahan flat kos rendah di Jalan Seri Sentosa menemukan sepucuk pistol tiruan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata penahanan dibuat ke atas suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan pada 2.40 pagi susulan rondaan pihak polis.

Beliau berkata hasil pemeriksaan juga menemukan sebutir peluru yang diletakkan di dalam pistol terbabit selain satu kad penama bertulis ASP Ng Thean Leng serta kasut berwarna hitam dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah.

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek turut mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki sepucuk pistol tiruan dan barangan yang disyaki digunakan untuk tujuan melakukan jenayah dan suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Mei untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Dua individu guna kepala surat Istana Negara untuk rentas negeri ditahan

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang mengemukakan surat, dengan kepala surat tertera nama Istana Negara Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebagai kebenaran untuk rentas negeri, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata ia bermula apabila anggota polis Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal Balai Polis Dang Wangi yang sedang membuat rondaan di hadapan McDonald’s Jalan P.Ramlee melihat suspek berumur 27 dan 47 itu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dijalankan, suspek menyerahkan tiga keping surat, kononnya dokumen yang memberi kebenaran untuk rentas negeri.

“Setelah diperiksa, surat itu didapati menggunakan kepala surat atas nama Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, dengan surat berkenaan menjelaskan kebenaran diperoleh daripada Duli Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu manakala kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Wanita itu didapati pernah terlibat dengan siasatan di bawah Seksyen 489(c) Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan (menipu) pada tahun 2017 dan 2018, manakala lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan kebenaran pergerakan rentas sempadan negeri menggunakan Borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sebarang maklumat berkaitan penggunaan dokumen rentas negeri yang tidak sah boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Tembak anggota PGA: Polis mohon ekstradisi dari Thailand

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memohon ekstradisi tiga warga Thailand yang merupakan suspek utama kejadian serangan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand November lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, usaha memohon ekstradisi itu adalah bagi membolehkan kesemua mereka ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di negara ini.

“Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainudin) telah menandatangani permohonan ekstradisi yang dibuat baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata permohonan itu adalah selaras dengan hubungan antara Malaysia dan Thailand melalui triti (persetujuan secara formal antara dua pihak) yang dimeterai di Bangkok, Thailand pada 4 Mac 1911 iaitu ‘Treaty between the United Kingdom and Siam Respecting the Extradition of Fugitive Criminals’.

“Setelah Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan perjanjian Triti tersebut telah diperbaharui pada 27 Okt 1959,” katanya.

Abdul Hamid berkata, PDRM komited untuk memastikan segala usaha diambil agar kesemua suspek kes itu dapat dibawa ke Malaysia untuk dihadapkan ke muka pengadilan mengikut proses undang-undang di negara ini.

Pada 24 Nov, seorang anggota polis Sjn Baharuddin Ramli terbunuh manakala rakan setugasnya Sjn Norihan a/l Tari cedera parah dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup, di Tembok Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Kejadian pada 2.30 pagi itu dilaporkan ketika dua-dua anggota PGA terbabit sedang menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis tembak empat lelaki disyaki terlibat kes samun

SUNGAI BULOH, 25 DIS: Empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun sebuah rumah di sini hari ini ditembak oleh polis ketika melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata tindakan itu diambil oleh pihak berkuasa selepas kereta tersebut melanggar dan menggilis seorang penunggang motosikal GrabFood.

“Kejadian berlaku tengah hari tadi ketika polis mengejar kereta suspek. Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek bagi menjaga keselamatan pasukan dan orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya pemeriksaan ke atas kereta suspek yang kemudian terhenti, menemukan empat lelaki tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hingga berita ini ditulis, tiada maklumat lanjut berkenaan keempat-empat suspek dan juga penunggang motosikal berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Dua beranak punca pencemaran Sungai Gong didakwa esok

SHAH ALAM, 2 NOV: Dua beranak yang juga merupakan pengarah syarikat akan didakwa di Mahkamah Selayang esok susulan pencemaran Sungai Gong, dua minggu lalu.

Ketua jabatan siasatan jenayah Selangor berkata kedua-duanya berusia 61 dan 31 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Datuk Fadzil Ahmat berkata suspek turut didakwa mengikut Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara hari ini. Enam lagi yang ditahan sebelum ini berusia antara 25 hingga 66 tahun akan dijadikan saksi pendakwaan.

“Mereka diikat jamin dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Acara Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata setakat ini pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap lima kes pencemaran sungai di negeri ini.

“Pencemaran Sungai Gong merupakan kes kedua dituduh selepas kami mengambil tindakan tegas pada September lalu,” katanya.

Oktober lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran dikesan.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan sekitar wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Categories
AGENDA JENAYAH

Pinjaman tidak wujud: Polis tahan 109 ahli sindiket

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Seramai 109 ahli sindiket pinjaman tidak wujud, yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM43 juta, ditahan sejak awal tahun ini sehingga Ogos lepas menerusi Op Seagul di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata semua suspek ditahan dalam 13 operasi yang dibuat bagi membanteras kegiatan sindiket berkenaan yang dilihat semakin berleluasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.

“Seramai 58 ahli sindiket ini telah dituduh di mahkamah melibatkan 28 kes penipuan manakala 51 orang lagi masih dalam siasatan pihak polis,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata mereka yang disiasat berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda bagi setiap kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 120B dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihaknya masih giat menjalankan risikan dan siasatan bagi meneruskan lagi operasi terhadap sindiket itu.

Zainuddin mendedahkan modus operandi sindiket itu adalah dengan menyamar sebagai ‘along’ dan mengiklankan perkhidmatan mereka di media sosial antaranya Facebook, Twitter, WeChat dan WhatsApp selain Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) untuk memancing mangsa.

“Selain itu, mereka juga menawarkan jumlah faedah (pinjaman) lebih rendah,” katanya.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya jika dihubungi sindiket terbabit dan membuat pinjaman hanya daripada institusi kewangan yang sah atau berlesen bagi mengelak menjadi mangsa sindiket sedemikian.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bukan gelang ‘pink’ pengawasan, tapi tag keluar masuk bebas cukai KLIA

SHAH ALAM, 21 OKT: Seorang lelaki yang gambarnya tular dalam media sosial semalam kerana menaiki motosikal dengan memakai ‘kononnya’ gelang berwarna merah jambu dekat sini semalam, bukanlah individu yang dikenakan perintah pengawasan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata sebaliknya, lelaki tempatan berusia 35 tahun itu hanyalah memakai gelang yang merupakan tag keluar masuk kompleks bebas cukai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Semakan mendapati nombor pendaftaran motosikal itu didaftarkan atas nama seorang wanita tempatan berumur 32 tahun, beralamat di Pelabuhan Klang.

“Pasukan polis IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Klang Selatan telah mengesan dan menemu bual pemilik motosikal tersebut. Beliau menyatakan bahawa motosikal tersebut digunakan oleh abangnya yang bekerja sebagai pemandu lori (pada ketika itu),” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Shamsul Amar berkata hasil siasatan lanjut mendapati lelaki itu mengaku gambar yang tular itu adalah dirinya, dan ia diambil sewaktu beliau pulang dari tempat kerja di Seksyen 15, Shah Alam sekitar 10 pagi tadi selepas selesai urusan penghantaran barang di kompleks bebas cukai KLIA.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Conteng mural: Polis ambil keterangan tiga wanita

SHAH ALAM, 3 SEPT: Tiga wanita dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng mural yang memaparkan wajah pemimpin negara Julai lepas, namun mereka dibebaskan kemudiannya selepas didapati mempunyai alibi yang kukuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata ketiga-tiga wanita berumur antara 25 dan 35 tahun itu dibebaskan selepas didapati mempunyai alibi kukuh yang tidak membolehkan mereka disabitkan dengan jenayah itu.

“Mereka telah dipanggil tiga minggu lepas, kerana pada mulanya disyaki terlibat, namun selepas siasatan, didapati mereka tidak terlibat. Kami masih bekerjasama dengan Bukit Aman dalam aspek teknikal bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Neighborhood Watch Programme di Seksyen U5, di sini.

Julai lepas, mural gergasi beberapa potret pemimpin negara pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini, diconteng pihak tidak bertanggungjawab dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis panggil individu cetak logo Jata Negara dalam kasut

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Polis akan memanggil dalam masa terdekat beberapa individu daripada syarikat pengeluar kasut, yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya bagi membantu siasatan.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Lambang dan Nama Mencegah Penggunaan Tidak Wajar, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Mereka yang terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Pada Sabtu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan tetap perlu diambil terhadap syarikat kasut yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya, walaupun telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan itu.

Saifuddin berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana lambang kebesaran negara termasuk Jata Negara mesti dihormati, selain kejadian itu adalah yang kedua selepas kejadian hina Jata Negara, dalam penerbitan sebuah buku baru-baru ini.

Semalam, media melaporkan pengeluar kasut terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka, selepas gambar kasut keluarannya yang mengandungi logo Jata Negara tular di media sosial dan mengarahkan pemberhentian pengeluaran produk itu dengan serta-merta.

– BERNAMA