Categories
AGENDA NASIONAL

8,150 individu pulang dari luar negara dikuarantin – Nadma

SHAH ALAM, 15 APRIL: Seramai 8,150 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan dikategorikan sebagai individu dalam pemerhatian (PUS) sedang dikuarantin setakat semalam.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata Selangor mencatatkan bilangan PUS tertinggi iaitu seramai 2,465 orang, diikuti Kuala Lumpur (2,380), Johor (2,283), Putrajaya (390) dan Negeri Sembilan (181).

“Kesemua individu ini pulang menerusi 86 penerbangan sejak 3 April lalu dan sebanyak 41 hotel digunakan sebagai pusat kuarantin di seluruh negara,” katanya.

Tambah Nadma, setakat ini sebanyak 128 hotel sudah diwartakan sebagai pusat kuarantin.

Sementara itu Persatuan Hotel Malaysia (MAH) memaklumkan kerjasama yang baik diberikan pihak pengurusan hotel yang diwartakan termasuk 16 hotel di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yap Lip Seng berkata hotel terbabit sentiasa bersiap sedia dalam menerima PUS selain memastikan langkah pencegahan dan keselamatan diutamakan.

“Dari segi kawalan, kebanyakan hotel dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di setiap tingkat manakala individu yang perlu menjalani isolasi itu diarahkan untuk sentiasa berada dalam bilik masing-masing oleh Kementerian Kesihatan.

“Pengurusan hotel juga dibantu oleh pihak berkuasa. Sebaik tiba, tetamu akan diiringi terus ke bilik masing-masing dan selepas itu tiada sesiapa yang boleh keluar atau masuk ke bilik berkenaan,” katanya.