Categories
AGENDA NASIONAL

Mosti analisa pergerakan tanah guna teknologi penderiaan jauh angkasa

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menganalisa pergerakan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, menggunakan teknologi penderiaan jauh atau remote sensing angkasa.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata analisa berkenaan dibuat menggunakan teknologi yang dibangunkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Beliau berkata tujuh jenis maklumat berkaitan penderiaan jauh dan imej satelit boleh memberi maklumat awal berkaitan pergerakan tanah sekali gus membantu menangani risiko berkaitan tanah runtuh seperti kejadian di Taman Bukit Permai 2, Khamis lalu.

“Sebelum ini, sudah berlaku kejadian sama (tanah runtuh) di Kemensah dan kami pernah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya menerusi ‘System E-Slope’ yang membantu berkaitan pembangunan cerun.

“Ini adalah kerjasama MYSA dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Ahmad Amzad berkata Mosti berperanan memberikan maklumat yang diperlukan menggunakan satelit sekali gus membantu kerajaan dalam membuat keputusan dan lain-lain.

Pada Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nadma sedia aktifkan semula fasiliti di Maeps

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedia mengaktifkan semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang, sekiranya jumlah katil di kemudahan kesihatan sedia ada tidak mencukupi.

Ketua Pengarah Nadma Datuk Dr Aminuddin Hassim barkata bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata agensi itu sedang membantu KKM meningkatkan jumlah katil di kemudahan kesihatan sedia ada seperti di Hospital Kuala Lumpur, Pusat Kawalan Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Rehabilitasi Cheras.

“Sekarang kita guna kemudahan sedia ada (di hospital-hospital berkenaan). Ini berkaitan dengan bagaimana kita hendak menumpukan perkhidmatan tadi. Kalau buka Maeps, kita kena ada lebih kurang 670 orang sebagai petugas, jadi kalau kita guna hospital sedia ada, di situ sudah ada petugas-petugasnya.

“Di situ (hospital-hospital) juga ada makmal yang akan membuat uji kaji atau ujian. Tapi kalau di Maeps, kita kena bawa semua kemudahan itu datang ke Maeps. Sekiranya perlu buka (di Maeps), kita akan ambil masa tiga ke empat hari sahaja untuk melaksanakannya sebab kita ada pengalaman,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Pengurusan Bencana Semasa Pandemik Covid-19’.

Mengulas mengenai persiapan banjir ketika pandemik Covid-19, Aminuddin menyifatkan bencana kali ini agak ‘unik’ apabila mengambil kira bagaimana cara untuk memastikan masalah banjir dapat ditangani, tanpa ada masalah berkaitan pandemik Covid-19.

Beliau berkata Nadma bertindak sebagai penyelaras dalam menangani bencana itu di seluruh negara dalam memastikan perancangan dapat disusun dan diselaras dengan lancar.

“This is the perfect storm (bencana dalam bencana). Persiapan banjir itu InsyaAllah dapat kita tangani bersama, (namun) apabila bercakap mengenai SOP (tatacara operasi piawai) Covid-19, kita telah membuat beberapa perbincangan dengan agensi yang terlibat seperti membuat simulasi.

“Penting simulasi itu sebagai input untuk perbaiki apa telah kita rencanakan. Sebab masa itu orang sudah tidak tentu hala, hendak selamatkan diri dan pastikan harta selamat, dan ada walaupun dalam keadaan banjir tidak mahu ke pusat pindahan sementara (PPS) sebab takut harta hilang… perkara itu kita kena jangka,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata Nadma telah merangka beberapa gerak kerja seperti melaksanakan SOP sebelum, semasa dan selepas mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah dari PPS masing-masing.

“Contohnya, apabila mereka diarahkan pergi ke PPS, kena pakai pelitup muka dan pastikan penjarakan fizikal. Walaupun memang susah, sebaik mungkin kita akan minta agensi yang terlibat untuk membantu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Proses saringan Covid-19 di KLIA terkawal

SEPANG, 29 SEPT: Proses menunggu bagi penumpang dari Sabah untuk membuat saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam didapati kurang dari tiga jam dalam suasana yang terkawal, berbanding sehingga enam jam seperti yang dilaporkan pada Ahad.

Seramai 50 orang diasingkan dalam satu kumpulan untuk menjalani ujian dan diberi penerangan jelas oleh petugas kesihatan mengenai tanggungjawab setiap individu termasuk kuarantin di rumah.

Angela Ng, 39, dari Tenom berkata keadaan di balai ketibaan kelihatan teratur sementara menunggu gilirannya membuat ujian.

“Masa menunggu pun tidak lama dalam masa tiga jam. Ujian saringan dan kuarantin wajib adalah bagus untuk memastikan tiada jangkitan kepada komuniti dan semua orang perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya yang pulang ke Sabah untuk mengundi.

Ng berkata kesesakan dan masa menunggu lama yang dilaporkan pada Ahad berkemungkinan disebabkan ramai penumpang bergegas untuk pulang kerana perlu bekerja semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Zakaria Shaaban berkata kepadatan penumpang di balai ketibaan dijangka hanya berlaku pada minggu ini susulan berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kesesakan adalah kerana ketibaan serentak dan jumlah penumpang yang ramai jadi masa menunggu itu panjang,” katanya sambil menambah tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah petugas kesihatan telah melancarkan proses.

Menurutnya, dianggarkan 4,400 orang tiba dari Sabah semalam, melibatkan 29 penerbangan iaitu 10 ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala 19 di klia2.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu mengumumkan peraturan yang mewajibkan semua individu yang baru tiba dari Sabah menjalani saringan Covid-19 di pintu masuk bermula Ahad hingga 10 Oktober.

Petugas media, Nor Sarah Fatihah Abdullah, 33, berkata beliau lega dengan pengumuman kerajaan berhubung saringan wajib itu kerana beliau berada di Sabah selama 19 hari untuk bertugas sempena PRN Sabah.

“Memang tiap-tiap hari akan pantau perkembangan Covid-19 yang KKM buat. Masa sebelum pengumuman saringan wajib, memang kita mengharapkan ujian saringan dari pejabat bila balik Kuala Lumpur,” katanya yang bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Seorang penumpang dikenali sebagai Siti Nur Aqilah, 22, dari Seremban yang ke Kota Kinabalu pada Sabtu lepas untuk urusan keluarga pula berkata dia pada mulanya risau dengan peraturan mengenai ujian saringan wajib.

“Selepas dapat tahu pengumuman itu, rasa risau juga tapi sedar itu tanggungjawab dan untuk kebaikan komuniti supaya tiada penularan baharu,” katanya, yang memuji petugas kesihatan serta keselamatan kerana memberi perkhidmatan baik dan maklumat yang jelas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh yang juga baru tiba dari Kota Kinabalu berkata sistem di balai ketibaan untuk ujian saringan adalah lebih teratur termasuk perhatian khas yang diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak.

Beliau turut menyeru agar orang ramai terus patuh kepada SOP Covid-19 yang ditetapkan KKM bagi membendung penularan wabak berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nadma belanja lebih RM381 juta bagi operasi bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Lebih RM381.5 juta telah dibelanjakan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi operasi pengurusan membendung penularan Covid-19, kata Penolong Pengarah Kanan Penyelarasan Operasi Nadma Sapian Mamat..

Berikutan perbelanjaan yang signifikan itu, beliau merayu agar semua pihak mematuhi segala tatacara operasi piawai (SOP).

“Perkara yang perlu diletakkan dalam minda semua orang ialah urus bencana dan menyelamat nyawa adalah tanggungjawab semua. Namun apa yang kita lihat sekarang ini dekat lapangan adalah pematuhan SOP yang kurang.

“Kes kluster Sivagangga adalah satu contoh ketidakpatuhan SOP yang membawa kesan besar dan tidak diduga,” katanya menerusi program temu bual maya Bernama 360 baru-baru ini.

Sapian juga berkata sebanyak RM7.4 juta dibelanjakan melalui Tabung Covid-19 bagi bantuan khas untuk individu hilang pendapatan yang melibatkan 5,342 orang manakala RM550,000 bagi bantuan khas pengurusan kematian.

Tabung Covid-19 dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lepas bagi memberi bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas dengan penularan Covid-19.

Berkongsi pengalaman Nadma dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang disifatkan sebagai sesuatu yang baharu, Sapian berkata banyak tindakan perlu diambil di luar norma pengoperasian bencana.

“Langkah terbaik dan pantas telah diambil semua agensi di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang mana semua agensi terlibat duduk semeja membincangkan langkah terbaik menangani Covid-19 dengan Kementerian Kesihatan sebagai agensi peneraju.

“Bila kita tengok skala (kes) semakin hari semakin meningkat, aktiviti kita pun semakin perlu dipercepatkan. Contohnya pembukaan stesen kuarantin semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar. Ia memerlukan keputusan yang tepat dan pantas.

“Perkara ini takkan berlaku jika tiada penyelarasan di peringkat pusat. Di sinilah kepentingan JPBP bersidang untuk ambil langkah terbaik,” katanya.

Sapian juga berkata perkara paling istimewa bagi Nadma dalam melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Dan Bencana Covid-19 ialah membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara seperti Wuhan di China, Itali, Bosnia, Iran dan Indonesia.

“Dari Wuhan, kita sewa penerbangan khas dengan pasukan memakai sut PPE (peralatan perlindungan diri) dan bawa (rakyat Malaysia) balik.

“Ia adalah sesuatu yang baharu untuk semua pihak,” katanya.

Nadma ditubuhkan pada 2015 sebagai penyelaras kepada agensi kerajaan yang terlibat dengan penguatkuasaan bencana termasuk banjir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu pulang dari luar negara tidak dibenar pilih stesen kuarantin

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kesemua individu di bawah pengawasan (PUS), melibatkan warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan wajib menjalani kuarantin 14 hari di stesen kuarantin, tidak dibenarkan memilih stesen kuarantin yang telah ditetapkan untuk mereka.

Ini berdasarkan ‘Garis Panduan Proses Kemasukan dan Kuarantin Person, Under Surveillance (PUS) Yang Tiba Dari Luar Negara Bermula 24 Julai 2020’, yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut garis panduan itu, pendaftaran PUS dibuat di semua Pintu Masuk Antarabangsa dan diselaraskan NADMA, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sekretariat pendaftaran, akan menyelaras penerimaan PUS dan pengurusan logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 atau pintu-pintu masuk udara, laut dan darat, di seluruh Malaysia.

“PUS perlu mempamerkan LoU (Surat Aku Janji dan Indemniti) kepada petugas. Sekretariat di Pintu Masuk Antarabangsa, akan mengaturkan keperluan logistik PUS ke Stesen Kuarantin yang ditetapkan,” demikian catatan dalam garis panduan itu, yang boleh dicapai di laman web NADMA; www.nadma.gov.my.

Berkuatkuasa hari ini, kerajaan mewajibkan mana-mana individu yang pulang ke Malaysia dari luar negara, agar menjalani prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan, sama ada di Institut Latihan Awam atau hotel, berdasarkan kos dipersetujui sebelum ini dan bukan lagi di rumah, dan mereka yang terlibat juga perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin dan saringan.

Ini berikutan kegagalan sesetengah individu yang diarah menjalani kuarantin di rumah, tetapi keluar ke tempat awam dan makan di restoran, seperti yang viral di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan awam.

Kerajaan juga membenarkan anak berusia 12 tahun ke bawah, berkongsi bilik dengan ibu bapa di stesen kuarantin ditetapkan, dengan syarat mereka pulang dari tempat yang sama, serta perlu menandatangani surat persetujuan terlebih dahulu.

Sementara itu, bagi pelajar tajaan, penaja diminta menanggung kos kuarantin pelajar yang terlibat dan pelajar daripada keluarga B-40 pula, boleh memohon pengecualian bayaran, sementara kerajaan menanggung kos kuarantin pemegang kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend kenaikan kes harian dan kewujudan beberapa kluster baharu besar, kemungkinan disebabkan kelekaan serta ketidakpatuhan orang ramai terhadap SOP mahupun nasihat kerajaan dalam menangani Covid-19.

Sejak kebelakangan ini beliau berkata, tular di media sosial gambar beberapa individu yang diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah, namun didapati berada di tempat awam.

Menurut beliau, analisis data terkini yang diperoleh melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan dari 7 hingga 20 Julai, 24.8 peratus daripada jumlah individu yang diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO), tidak menggunakan fungsi ‘Home Assessment Tool’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 96 rakyat Malaysia dari India tiba di KLIA

SEPANG, 18 JULAI: Sebanyak 96 rakyat Malaysia dari India selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini menerusi misi kemanusiaan yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama agensi berkaitan.

Ketua Pengarah Nadma Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata daripada jumlah itu, 62 orang merupakan jemaah tabligh yang terkandas di negara tersebut sejak Februari.

“Selebihnya merupakan 34 warga Malaysia terdiri daripada petugas di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India dan anggota keluarga serta pelancong Malaysia yang terkandas,” katanya kepada pemberita di KLIA di sini, hari ini.

Rakyat Malaysia dari India terus dibawa ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan bagi menjalani kuarantin wajib 14 hari. Foto Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Mohtar berkata kesemua warga Malaysia itu tiba di KLIA bersama-sama 11 kru penerbangan Malindo Air OD0208 dari New Delhi yang mendarat pada 6.31 pagi ini.

“Kesemua rakyat Malaysia yang pulang pada hari ini sudah menjalani tapisan kesihatan di India dan kesemua mereka didapati tidak mengalami apa-apa gejala (Covid-19) yang menghalang mereka daripada menaiki pesawat,” katanya.

Mohtar berkata kesemua individu yang tiba pada hari ini turut menjalani saringan kesihatan sejurus pesawat mendarat di KLIA sebelum mereka dibenarkan keluar dari balai ketibaan.

Difahamkan kesemua rakyat Malaysia melepasi saringan kesihatan dan ujian Covid-19 yang dilakukan di KLIA.

Katanya tidak ada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berlepas ke India sebelum ini untuk mengiringi kepulangan rakyat Malaysia, yang merupakan misi kemanusiaan kelima bagi Nadma.

Sebelum ini, empat misi kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia yang digerakkan kerajaan itu melibatkan rakyat Malaysia di China, Itali, Indonesia dan Iran.

Kesemua rakyat Malaysia yang tiba pada hari ini terus dibawa ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan bagi menjalani kuarantin wajib 14 hari.

Mereka dilihat dibawa ke pusat pemantauan berkenaan dengan menaiki sembilan bas milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan 15 orang setiap bas bagi menjaga penjarakan sosial.

Saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat kurantin wajib di pusat pemantauan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Redzuan Md Yusof dalam kenyataannya berkata mengambil kira kumpulan itu kembali dari negara yang berisiko tinggi dengan jangkitan Covid-19, mereka perlu dikuarantin wajib selama 14 hari di Pusat Pemantauan.

Katanya Pusat Pemantauan itu akan diselia oleh petugas kesihatan daripada KKM.

“Selain petugas kesihatan, tidak ada perhubungan dengan pihak luar dibenarkan termasuk ahli keluarga. Justeru, ahli keluarga atau sahabat handai diminta agar memahami situasi dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini.

“Untuk tujuan keselamatan, lokasi ini dikawal oleh pihak polis,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

8,150 individu pulang dari luar negara dikuarantin – Nadma

SHAH ALAM, 15 APRIL: Seramai 8,150 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan dikategorikan sebagai individu dalam pemerhatian (PUS) sedang dikuarantin setakat semalam.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata Selangor mencatatkan bilangan PUS tertinggi iaitu seramai 2,465 orang, diikuti Kuala Lumpur (2,380), Johor (2,283), Putrajaya (390) dan Negeri Sembilan (181).

“Kesemua individu ini pulang menerusi 86 penerbangan sejak 3 April lalu dan sebanyak 41 hotel digunakan sebagai pusat kuarantin di seluruh negara,” katanya.

Tambah Nadma, setakat ini sebanyak 128 hotel sudah diwartakan sebagai pusat kuarantin.

Sementara itu Persatuan Hotel Malaysia (MAH) memaklumkan kerjasama yang baik diberikan pihak pengurusan hotel yang diwartakan termasuk 16 hotel di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yap Lip Seng berkata hotel terbabit sentiasa bersiap sedia dalam menerima PUS selain memastikan langkah pencegahan dan keselamatan diutamakan.

“Dari segi kawalan, kebanyakan hotel dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di setiap tingkat manakala individu yang perlu menjalani isolasi itu diarahkan untuk sentiasa berada dalam bilik masing-masing oleh Kementerian Kesihatan.

“Pengurusan hotel juga dibantu oleh pihak berkuasa. Sebaik tiba, tetamu akan diiringi terus ke bilik masing-masing dan selepas itu tiada sesiapa yang boleh keluar atau masuk ke bilik berkenaan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Makanan kurang sesuai, ADN minta semak semula bekalan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua memohon Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyemak semula bantuan makanan kepada penduduk Sungai Lui.

Beliau berkata perkara itu ekoran penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima makanan dalam tin serta minuman manis yang tidak sesuai.

“Penduduk Sungai Lui bawah PKPD tidak mengharapkan makanan mewah, cukup sekadar barangan segar asas yang ada nutrisi seperti bawang, telur, sayuran dan daging,” kata Edry Faizal Eddy Yusof dalam kenyataan hari ini.

“Nadma juga diharapkan dapat semak kembali jenis barangan makanan bantuan yang telah ditetapkan untuk kawasan-kawasan PKPD, agar bersesuaian dengan keperluan kawasan.”

Batu 21 hingga 24, Sungai Lui merupakan kawasan bawah Hulu Langat yang dikenakan PKPD selama dua minggu sejak 30 Mac lalu hingga hari ini.

Ia berikutan terdapat 71 kes positif Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah di situ.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Misi kedua bawa pulang rakyat Malaysia lebih lancar

SEPANG, 26 FEB: Pengalaman mengendalikan misi pertama membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China susulan wabak Covid-19 pada 4 Februari lepas membantu melancarkan operasi sama hari ini.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) kali ini lebih teratur kerana semua pihak yang terlibat sudah mengetahui tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Beliau berkata, perjalanan operasi hari ini juga akan didokumentasi agar prosedur operasi standard (SOP) yang diguna boleh menjadi panduan untuk misi yang sama pada masa akan datang.

“Pada misi pertama, kami agak khuatir terhadap beberapa kemungkinan yang boleh berlaku kerana itu pengalaman pertama buat semua agensi yang terlibat.

“(Tetapi kita lihat) Pengurusan operasi hari ini telah dilaksanakan dengan baik kerana semua rancangan kita hari ini dibuat berdasarkan pengalaman pada misi lepas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Pesawat khas misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia, pasangan dan anak mereka dari Wuhan, China, susulan wabak Covid-19, tiba di KLIA, pada pukul 6.45 pagi.

Semalam, pesawat khas itu berlepas ke Wuhan di wilayah Hubei dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) pada pukul 5.58 petang.

Seramai 66 orang terdiri daripada 46 rakyat Malaysia dan 20 tanggungan (pasangan/anak) mereka yang bukan warga negara dibawa pulang melalui penerbangan khas itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe pada pukul 1.45‬ pagi.

Seramai 287 anggota daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Kementerian Kesihatan, terlibat dengan misi hari ini.

Mohtar berkata, setakat ini tiada rancangan untuk mengadakan misi ketiga untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China.

“Setakat ini, kami tidak merancang untuk melaksanakan misi ketiga, tetapi kami akan melihat situasi terkini dan jika ada keperluan kami lihat balik (mengadakan misi ketiga),” katanya.

Pada 4 Februari lepas, kerajaan Malaysia berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, melalui misi pertama HADR.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Misi kedua bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan diteruskan

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Misi kedua bagi membawa pulang 75 warganegara Malaysia dan pasangan serta anak mereka yang terkandas di Wuhan, wilayah Hubei, China, susulan wabak Covid-19 di negara itu tetap akan dilaksanakan meskipun kemelut politik melanda negara.

Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pesawat khas AirAsia akan membawa pulang kesemua mereka dan penerbangan dari Wuhan dijangka tiba esok (26 Februari) pukul 6.00 pagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata Kementerian Luar dan Nadma dengan kerjasama AirAsia sedang menguruskan butiran mengenai misi kedua berkenaan.

Wan Azizah berkata, sama seperti misi pertama, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua penumpang akan melalui saringan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) sebelum dihantar ke Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk proses pemantauan selama 14 hari.

Misi yang pertama digerakkan kerajaan Malaysia pada 4 Februari lepas berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet lulus penghantaran misi bantuan ke Australia

PUTRAJAYA, 8 JAN: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini meluluskan cadangan penghantaran misi bantuan melibatkan 65 orang ke Australia yang kini berhadapan dengan kebakaran hutan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Misi, yang akan diselaraskan oleh dua pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), terdiri daripada 39 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 22 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), katanya.

“Misi ini akan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dengan anggaran kos berjumlah RM2.1 juta bagi jangkaan tempoh dua minggu,” katanya dalam kenyataan oleh NADMA hari ini.

Dr Wan Azizah, yang juga Pengerusi NADMA berkata misi itu hanya akan dilaksanakan setelah mendapat persetujuan daripada kerajaan Australia dan nasihat keselamatan daripada Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Australia.

Beliau berkata, misi itu dijangka berhadapan dengan risiko keselamatan berikutan kebakaran yang meluas di negara itu.

“Anggota yang terlibat akan dinasihat untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya. Pasukan ini juga akan dilindungi oleh perlindungan insurans dan perubatan,” katanya.

Dr Wan Azizah pada Ahad lepas menyatakan hasrat Malaysia untuk turut membantu dalam usaha pemadaman kebakaran hutan itu, yang menurutnya memperlihatkan keprihatinan Malaysia dengan masalah kebakaran hutan Australia berdasarkan kepada hubungan baik dua hala yang terjalin.

Katanya, Malaysia dilihat mempunyai kapasiti dari segi keupayaan dan pengalaman dalam operasi pemadaman hutan di peringkat antarabangsa memandangkan Malaysia pernah terlibat dalam misi bantuan ke Indonesia bagi pemadaman kebakaran hutan di Kalimantan pada 1997 dan Riau pada 2005.

Australia sedang berhadapan dengan kebakaran hutan yang buruk sejak akhir September 2019 terutamanya di wilayah New South Wales.

Sehingga 8 Januari (2020), sebanyak 2,000 kediaman musnah dan 25 kematian dilaporkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: 93 pusat pemindahan sementara dibuka – NADMA

PUTRAJAYA, 18 DIS: Sebanyak 93 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat negeri iaitu Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak bagi menempatkan 2,345 keluarga melibatkan 8,011 mangsa banjir setakat 12 tengah hari tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata jumlah tersebut meningkat berbanding pada jam 8 pagi tadi iaitu sebanyak 76 PPS melibatkan 1,743 keluarga terdiri daripada 6,454 orang mangsa.

Penambahan ini berlaku disebabkan Kelantan dilanda banjir, menurut NADMA dalam kenyataan hari ini.

Menurut agensi itu di Kelantan, lima daerah telah dilanda banjir iaitu Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli melibatkan 2,333 buah keluarga terdiri daripada 7,961 mangsa.

Manakala di Johor, enam daerah iaitu Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Batu Pahat dan Pontian turut dilanda banjir melibatkan 1,404 keluarga terdiri daripada 5,150 mangsa.

“Tiga daerah di Pahang turut dilanda banjir iaitu Rompin, Temerloh dan Bera di mana 276 keluarga telah terkesan dengan banjir ini yang melibatkan 1,071 orang mangsa sementara dua buah daerah di Sarawak iaitu Marudi dan Sri Aman (kejadian tanah runtuh) telah terjejas oleh bencana ini melibatkan 14 buah keluarga dan 59 orang mangsa,” katanya.

Menurut NADMA trend peningkatan dan penurunan mangsa banjir di setiap PPS bergantung kepada keadaan cuaca setempat dan pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah/Negeri sentiasa memantau dan siap siaga dengan sebarang kemungkinan perubahan cuaca yang disalurkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menunjukkan soladariti menunaikan tanggungjawab sosial bersama agensi kerajaan menghulur sumbangan dan bantuan di daerah-daerah yang dilanda musibah banjir ini.” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA