Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kluster Magetan bertambah 11 kes – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kes membabitkan positif Covid-19 kluster baharu iaitu rakyat yang pulang dari Magetan, Indonesia bertambah 11 kes menjadi 54 kes setakat hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

“Kes import positif Covid-19 hari ini ada 12 kes, 11 membabitkan pelajar yang pulang dari Indonesia dan satu kes membabitkan individu yang pulang dari Amerika Syarikat.

“Kluster pelajar pulang dari Indonesia bertambah 11 kes menjadi keseluruhan 54 kes setakat ini,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam beliau memaklumkan kluster baharu berjaya dikesan dalam kalangan rakyat yang pulang dari Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lalu.

Beliau berkata kluster tersebut terdiri dari 43 pelajar yang positif selepas pulang dari Temboro di Magetan iaitu salah satu kawasan zon merah di negara berkenaan.