SHAH ALAM, 18 APRIL: Kira-kira 50 orang awam termasuk warga emas membuat saringan Covid-19 secara pandu lalu yang bermula hari ini di Kompleks Generasi Muda dan Sukan, Seksyen 7 di sini.
Mereka yang menjalani ujian percuma sekitar tiga minit kendalian tiga petugas kesihatan termasuk seorang doktor untuk setiap kenderaan turut memuji pendekatan Kerajaan Negeri.
Pesara kerajaan, Abdutl Moa’it Maskuri, 65, pula berkata konsep sedemikian memudahkan orang ramai membuat pemeriksaan apatah lagi pemilihan lokasi juga sesuai.
“Memandangkan proses ini sekejap dan mudah, saya akan minta isteri untuk datang saring di sini,” katanya kepada SelangorKini.
Ahmad Zakilfikri Abdul Malek, 39, dari Taman Medan dekat sini berkata usaha tersebut menggalakkan orang awam membuat pemeriksaan tanpa perlu berbelanja besar.
“Jika di luar (hospital swasta) caj dikenakan agak tinggi melebihi RM300 dan itu menyebabkan individu bergejala juga tidak mahu membuat saringan,” katanya kepada Selangorkini hari ini.
Kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya, Selcare melaksanakan saringan sedemikian pada hari ini dan esok, khusus untuk warga emas dan individu yang ada gejala demam, selesema, batuk dan sakit tekak.
Pemeriksaan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 6 petang. Keputusan diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam.