Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tiga lagi kawasan diisytihar zon merah

SHAH ALAM, 7 APRIL: Tiga lagi daerah di negara ini diisytihar sebagai zon merah akibat wabak Covid-19 selepas masing-masing mempunyai lebih 40 kes, kata Kementerian Kesihatan (KKM)

Tiga zon itu, Jasin dengan 42 kes manakala Putrajaya dan Rembau masing-masing merekodkan 41 kes.

Menerusi Twitter KKM, penambahan tiga kawasan itu menjadikan lokasi diisytihar zon merah di negara ini setakat jam 12 tengah malam tadi meningkat kepada 21.

Mengikut data dikongsi KKM, lokasi zon merah dengan rekod positif Covid-19 ialah Lembah Pantai (386), diikuti Hulu Langat (324), Petaling (296), Kuching (174), Kluang (170) dan Seremban (162).

Kawasan lain Johor Baharu dengan 145 kes, Kepong (116), Klang (112), Gombak (110), Titiwangsa (93), Kinta (87) dan Kota Bharu (82).

Pada masa sama, Tawau (67), Hilir Perak (65), Jerantut (61), Batu Pahat (47) dan Cheras (45).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sehingga kini terdapat 3,793 kes positif Covid-19, 62 kematian manakala pesakit pulih 1,241 orang.