SHAH ALAM, 17 APRIL: Beberapa nota yang menyentuh hati ditinggalkan bekas penghuni pusat kuarantin sekitar Selangor untuk menyatakan penghargaan mereka kepada petugas barisan hadapan.
Nota bertulisan tangan, sesetengahnya disertai lakaran, antara lain mengucapkan terima kasih kepada petugas berkenaan selain mendoakan mereka sentiasa diberkati, dilindungi-Nya.
“Walaupun kita tidak bersua muka, jasa anda menghantar makanan, ubatan dan saringan kesihatan sangat dihargai,” kata bekas penghuni tanpa identiti jelas.
“Terima kasih kerana menjaga kami dengan baik,” tulis individu lain pula.
Nota tersebut antara lima tulisan yang dikongsi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ke Facebook hari ini.
Kerajaan Selangor menguruskan 13 pusat kuarantin yang menempatkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara. Mereka dibawa ke situ menaiki Bas Smart Selangor.