Categories
AGENDA NASIONAL

KKM semak, kemas kini petugas hadapan layak dapat elaun khas

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyemak dan mengemas kini dari semasa ke semasa untuk memperluaskan pemberian elaun khas kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang mengurus wabak Covid-19 di negara ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata selain doktor, jururawat dan pemandu ambulans yang ketika ini termasuk dalam kalangan petugas yang layak menerima elaun khas tersebut, namun masih terdapat kumpulan lain kesihatan yang terlibat dalam pengurusan wabak itu.

“Kumpulan yang layak menerima elaun khas ini akan kita semak akan kemas kini dari semasa ke semasa, contohnya ahli fisioterapi yang terlibat dalam rawatan pesakit ‘long Covid’ yang kita fikir menepati kriteria untuk mendapat elaun khas tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang mahu Khairy menyatakan berkenaan pembayaran bonus kepada pekerja barisan hadapan dalam kalangan kakitangan kesihatan.

Khairy berkata sehingga 31 Disember tahun lalu sebanyak RM1.1 bilion elaun khas telah dibayar kepada petugas barisan hadapan kesihatan.

Pada Mac 2020, kerajaan mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta usaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Berkenaan aduan petugas barisan hadapan yang tidak menerima elaun khas tersebut kerana tidak mengambil vaksin, Khairy berkata antara syarat untuk layak menerimanya adalah petugas mesti mendapatkan vaksin Covid-19 di samping syarat-syarat lain termasuk jumlah hari bekerja.

“Tetapi jika petugas tidak boleh menerima vaksin akibat isu kesihatan, mereka tetap layak dibayar elaun khas tersebut,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai jumlah doktor kontrak yang akan diserap ke jawatan tetap tahun ini, Khairy berkata kekosongan jawatan pegawai perubatan ialah 3,586.

Katanya, iklan jawatan kosong tersebut telah diiklankan di laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPS) sejak semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais edar lebih 4,000 set makanan kepada petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sebanyak 4,350 set makanan diedar kepada petugas barisan hadapan di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata sumbangan berbentuk roti dan air mineral diserahkan kepada PPV UiTM Shah Alam; Dewan MBSA Seksyen 19; Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya dan Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Serdang.

“Manakala enam IPD termasuk Klang Utara, Klang Selatan, Subang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam dan Serdang.

“Masing-masing menerima sumbangan antara 100 set hingga 1,000 set makanan dan minuman mengikut kapasiti keperluan petugas di lokasi masing-masing,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Mais, sumbangan fasa kedua ini mendapat kerjasama anak syarikatnya, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Categories
AGENDA AGENSI SELANGOR

Mais agih 800 pek makanan hargai petugas hadapan

SHAH ALAM, 18 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan sumbangan 800 pek makanan kepada petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV) dan pejabat kesihatan daerah (PKD) semalam.

Mais menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan PPV terlibat adalah Dewan Semai Bakti Felda Soeharto Kuala Kubu Bharu, Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Dewan Orang Ramai Kg Ampang Indah, Hulu Langat dan Dewan Taman Bukit Mewah, Kajang.

Turut menerima sumbangan pek makanan itu empat PKD di Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

“Setiap PPV dan PKD masing-masing menerima 100 pek makanan. Ini sebagai menghargai selain sokongan kepada petugas barisan hadapan,” katanya.

Edaran sumbangan itu dengan kerjasama Teraju Asnaf Sdn Bhd (Teras) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Penyerahan sumbangan  berjalan selama lima hari bermula kelmarin di PKD Petaling, Klang dan Pelabuhan Klang serta PPV Dewan Sukan Pandamaran.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPA sedia luluskan segera tambah petugas hadapan KKM

GEORGE TOWN, 18 MAC: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersedia memberikan kelulusan segera kepada permohonan jawatan petugas barisan hadapan yang diperlukan Kementerian Kesihatan (KKM), dalam usaha membendung penularan wabak Covud-19 ketika ini.

Pengerusinya Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pihaknya akan memastikan pelantikan petugas KKM di buat secara cekap dan berkesan, supaya tidak berlaku kelewatan bagi keperluan khas.

“Saya dimaklumkan KKM perlukan lebih 11,000 petugas baharu bagi mendepani Covid-19, sekarang ini dan bagi tempoh dua minggu lepas sahaja hampir 6,000 orang telah dilantik dalam KKM, jika (KKM) perlukan lagi SPA akan lantik ikut keperluan KKM.

“Ketika dalam pendemik Covid-19 sekarang ini, SPA memang buat lantikan tambahan bagi petugas KKM seperti jururawat dan doktor, ia dibuat secara cekap, cepat serta berkesan, supaya tidak berlaku kelewatan dan kami di SPA memainkan peranan yang cukup penting, bagi memastikan penjawatan dilantik segera kerana ia keperluan khas kepada KKM,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata semua lantikan itu dibuat secara kontrak dan akan diserap sebagai petugas tetap, selepas KKM melihat komitmen serta keupayaan mereka dalam menjalankan tugas.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata proses pengambilan penjawat awam menerusi SPA, tetap berlangsung seperti biasa iaitu membabitkan kira-kira 28,000 calon setiap tahun, walaupun negara berdepan tekanan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

Katanya kekosangan jawatan itu berikutan penjawat awam yang bersara iaitu kira-kira 25,000 orang setiap tahun, dan keperluan kementerian serta jabatan yang ingin mendapatkan pertambahan pekerja berdasarkan keperluan dasar-dasar baru.

“Covid-19 tidak mempengaruhi kekosongan jawatan yang ada dalam perkhidmatan awam dan SPA membekalkan pekerja setiap tahun bagi keperluan jabatan, setiap tahun terdapat 28,000 kekosongan bagi jawatan tetap, manakala ribuan lagi untuk penjawatan kontrak,” katanya.

Terdahulu, Zainal Rahim mendahului senarai penerima pada istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang, sempena Sambutan Ulang Tahun ke-82, Yang Dipertuan Negeri Tun Abdul Rahman Abbas yang berlangsung di Setia Spice Convention Centre.

Beliau yang pernah berkhidmat selama 11 tahun di Pulau Pinang, menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kinrara sumbang makanan untuk 800 petugas hadapan Seri Kembangan, Puchong

PUCHONG, 8 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) menyalur bantuan makanan kepada 800 petugas barisan hadapan di Seri Kembangan dan Puchong.

Ahli Dewan Negerinya berkata sumbangan dengan kerjasama Rotary Club dan Lions Club Kuala Lumpur Mega City bagi menghargai pengorbanan golongan tersebut bertugas tanpa mengira masa memerangi wabak Covid-19 di negeri ini.

“Sebenarnya sumbangan sebegini tidak pernah putus diberi kepada doktor, polis, jururawat dan ramai lagi sejak dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

“Selain menggunakan peruntukan sedia ada, saya juga menjalin kerjasama strategik dengan syarikat besar dan badan bukan kerajaan untuk melaksanakannya,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Ketua Klinik Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan (KK) Puchong Batu 14, Dr Haslinda Hassan di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Panel KK Kebangsaan dan Selangor, Datuk Dr Kannan; Presiden Jawatankuasa Rotary Kasih, Chua Keng Soon; Wakil Lions Club Kuala Lumpur Mega City, Margaret Tham dan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Puchong 14, Dr Jonathan Tan Yuet Han.

Sementara itu, Dr Kannan berkata pihaknya terharu apabila sumbangan pasukan perubatan di kawasan itu dihargai wakil rakyat berkenaan.

“Ini kerana KK Puchong Batu 14 menerima lebih 1,500 pesakit dari pagi sehingga petang setiap hari. Sumbangan sebegini sekurang-kurangnya mengembirakan hati petugas yang sentiasa sibuk ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 14,000 petugas barisan hadapan terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 2 FEB: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor meneruskan bantuan makanan kepada kira-kira 14,162 petugas barisan hadapan di negeri itu.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu terbahagi kepada 9,822 petugas kesihatan dan 4,340 pasukan sekatan jalan raya (SJR).

“Bantuan dengan inisiatif Kerajaan Negeri ini bertujuan menghargai petugas terbabit bagi memerangi pandemik Covid-19” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Ahmad Azri sebanyak 12 hospital, 10 pejabat kesihatan daerah dan Jabatan Kesihatan Daerah menerima bantuan itu sejak 20 Januari lalu sehingga hari ini.

“Bagi pasukan SJR pula bantuan makanan ini sudah mula diagih 27 Januari dan diteruskan sehingga 9 Februari ini,” katanya lagi.

Pada 20 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan makanan menerusi Pakej Kita Selangor dengan peruntukan RM3 juta kepada petugas barisan hadapan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan makanan suntik semangat, motivasi petugas hadapan

SHAH ALAM, 22 JAN: Bantuan makanan tengah hari dan malam menerusi Pakej Kita Selangor menyuntik semangat dan motivasi petugas barisan hadapan untuk memberi khidmat terbaik dalam mengekang penularan Covid-19.

Ketua inspektor kesihatan pejabat kesihatan daerah (PKD) Kuala Langat mengakui bangga dan terharu atas keprihatinan Kerajaan Negeri menyediakan bekalan tersebut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sumbangan itu membuktikan pengorbanan kami yang bekerja tanpa henti sejak pandemik melanda negara dihargai pentadbiran negeri.

“Alhamdulillah bantuan ini amat membantu lebih-lebih lagi apabila sering berdepan kesuntukan masa untuk membeli makanan di luar terutama pada tengah hari,” kata Mohmad Farhan Kadri ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata ini disebabkan ada masanya terpaksa pulang ke rumah di Kuarters MDKL atau menempah makanan secara dalam talian menggunakan khidmat penghantaran ke lokasi bertugas di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Jugra, Banting.

“Sumbangan ini meringankan beban tambahan ketika kami perlu menguruskan pesakit Covid-19 yang bertambah setiap hari.

“Malah ia membantu anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di CAC yang menjalankan pemantauan aktiviti pematuhan tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Sri Muda Inspektor Mohammad Firdaus Mohd Khairi berkata bantuan melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) sedikit sebanyak menampung peruntukan sama diberi polis kepada anggota bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dan pasukan khas pematuhan SOP PKP seluruh Selangor.

“Ia menunjukkan Kerajaan Negeri menghargai khidmat bakti pasukan polis sebagai petugas hadapan bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19,” katanya.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pakej bantuan khas, Pakej Kita Selangor dengan peruntukan RM3 juta untuk pelaksanaan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan seluruh negeri.

Inisiatif itu memanfaatkan seramai 9,822 petugas perubatan di hospital dan PKD termasuk 3,500 anggota polis serta ATM.

Categories
AGENDA NASIONAL

Niat bekerja kerana Allah, dipermudahkan segalanya – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 17 JAN: Memahami penat lelah terpaksa dilalui anggota kesihatan di seluruh negara, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tampil memberi kata-kata semangat.

“Saya menyeru kepada semua petugas barisan hadapan iaitu sebelum memulakan tugas kita seharian, pastikan kita pasangkan niat dan nawaitu berkhidmat kerana Allah SWT.

“InsyaAllah akan dipermudahkan segala beban kerja dan selepas kita berusaha bersungguh-sungguh marilah bertawakal kembali kepada Allah. Ajal maut ditentukan oleh-Nya,” tulis ketua pengarah kesihatan menerusi Facebook.

Pada 11 Januari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyifatkan petugas kesihatan negara dalam keadaan penat.

Malah fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu Covid-19 setiap hari.

Semalam negara merekodkan kes harian tertinggi Covid-19 iaitu 4,029 kes. Sehingga hari ini sebanyak 601 kematian dicatat sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan 37,782.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor sumbang makanan bantu petugas kesihatan, barisan hadapan

SHAH ALAM, 18 JAN: Kerajaan Selangor meneruskan bantuan makanan kepada petugas kesihatan serta pasukan barisan hadapan yang bertungkus lumus melawan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata tindakan dibuat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) susulan kiriman surat seorang doktor yang membangkitkan isu beban ditanggung barisan hadapan.

“Mengambil maklum cadangan oleh JKNS dan surat yang dikirim oleh seorang petugas perubatan, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha menyediakan makanan buat para petugas perubatan dan ‘frontliners’ yang terlibat dengan usaha melawan Covid-19 bagi mengurangkan beban mereka,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Kelmarin satu portal berita menyiarkan surat seorang doktor Hospital Sungai Buloh yang membangkitkan isu berkaitan beban ditanggung petugas kesihatan hospital itu serta mendakwa mengalami kekurangan kemudahan asas seperti tiada bilik rehat dan makanan bagi petugas syif atas panggilan.

April tahun lalu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Selangor memperuntukkan RM1.344 juta bantuan makanan percuma kepada petugas perubatan di hospital seluruh negeri.

Susulan penularan pandemik Covid-19, Selangor menjadi negeri paling awal mengumumkan bantuan kepada golongan sasar berjumlah RM127.8 juta pada 20 Mac lalu, iaitu hari ketiga pelaksanaan PKP.

Pada 1 April, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berjumlah RM272.5 juta diikuti pelan pemulihan ekonomi negeri jangka sederhana pada 13 Julai dengan keseluruhan nilai ekonomi bernilai RM55.85 bilion.

Antara bantuan diberikan adalah peruntukan berjumlah RM100.7 juta untuk industri digitalisasi, bantuan khusus Agroprenuer berjumlah RM500,000 untuk 5,000 nelayan dan petani, pemberian RM1,000 untuk pesakit Covid-19 serta penangguhan bayaran balik pinjaman pengajian mahasiswa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat jangan putus asa, beri ruang buat petugas barisan hadapan – Anwar

SHAH ALAM, 17 JAN: Rakyat di negara ini diminta tidak berputus asa meskipun jangkitan harian Covid-19 terus meningkat sehingga mencecah lebih 4,000 kes, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang menasihatkan orang ramai terus menjaga kesihatan bagi membolehkan petugas barisan hadapan mendapat ruang untuk bernafas.

“Sikap mulia begini adalah yang paling mudah untuk dipraktikkan dan secara tidak langsung akan menguatkan komitmen kita dalam mencari jalan keluar dari kemelut ini.

“Terus tingkatkan disiplin diri dengan patuhi tatacara operasi piawai (SOP), pakai pelitup muka dengan betul, jaga jarak masing-masing serta kerap basuh tangan. Jika tidak ada keperluan, jangan keluar rumah,” katanya dalam kenyataan.

Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson turut meminta rakyat terus meningkatkan peranan masing-masing sementara kerajaan bekerja lebih untuk mengembalikan keyakinan.

“Rakyat sedang menderita. Saya mendoakan kita jangan putus asa dan terus berusaha. Pengajaran dari tahun lalu itu sangat penting, dan jadikan ia sebagai dorongan untuk jadi lebih baik tidak hanya untuk diri sendiri namun untuk semua juga,” katanya.

Categories
RENCANA

Petugas barisan hadapan kongsi pengalaman hamil ketika pandemik

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 6 JAN: “Disahkan hamil dan bakal menimang cahaya mata” menjadi impian kebanyakan wanita yang sudah bergelar isteri dan sudah tentunya sang suami turut berdebar menanti hari kelahiran bayi mereka.

Namun bagi Dr Yap Choon Fong, 30, yang berasal dari Taiping, Perak, perasaannya bercampur baur antara gembira dan risau apabila beliau disahkan mengandung pada April lalu, iaitu enam bulan selepas mendirikan rumah tangga.

Apatah tidaknya, mengandung ketika pandemik Covid-19 sedang melanda di negara ini bukannya sesuatu perkara yang mudah, ditambah pula ketika itu beliau baru sahaja ditugaskan di Unit Covid-19, di sebuah klinik kesihatan di Bukit Mertajam.

Beliau sudah berkhidmat di klinik tersebut sejak 2017.

Tugas Dr Yap adalah untuk mengambil sampel ujian saringan Covid-19 setiap hari, membuatkan bakal ibu itu sentiasa terdedah kepada risiko dijangkiti.

Keadaan ini turut merisaukan anggota keluarga dan rakan-rakannya.

“Dari awal kehamilan hingga ke minggu ke-24, saya diberi tanggungjawab untuk menganggotai Unit Covid-19 bagi menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua pesakit bawah siasatan (PUI), sama ada yang datang ke klinik ataupun kami pergi ke kawasan terjejas mengikut jadual.

“Ketika itu, apabila anggota keluarga dan rakan mendapat tahu saya hamil, mereka risau dan menasihati supaya memohon untuk bertukar ke unit lain, namun saya tidak berbuat demikian kerana kekangan petugas kesihatan di klinik.

“Saya sedar sebagai petugas barisan hadapan, saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Perasaan paranoid perlu ditepis dan terus berkhidmat dan sama-sama memerangi wabak Covid-19,” katanya kepada Bernama, menerusi wawancara di Facebook baru-baru ini.

Tidak sedar dirinya mengandung

Sepanjuang tempoh kehamilan sehingga kandungannya berusia 24 minggu, Dr Yap ditugaskan di Unit Covid-19 untuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Antara kawasan yang kami kunjungi dan bertugas termasuk Depot Tahanan Imigresen Juru, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, penjara, serta kawasan perumahan yang dikenakan PKPD.

“Setiap hari, kami bertanggungjawab untuk mengambil kira-kira 200 sampel bagi setiap stesen sama ada daripada Pendatang Tanpa Izin (PATI), penduduk PKPD, pelancong serta warganegara yang tiba di tanah air di lapangan terbang,” katanya.

Menurut Dr Yap, memandangkan mereka semua berpakaian lengkap peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas, rakan-rakan setugas dan pesakit tidak tahu beliau mengandung, sehinggalah ketika habis bertugas dan PPE ditanggalkan, ada jururawat perasan keadaan perutnya yang besar.

Selepas kandungan berusia 24 minggu, beliau ditugaskan secara bergilir-gilir antara Unit Covid-19, Klinik Demam dan klinik harian biasa sehinggalah sehari sebelum bersalin pada hujung Oktober lalu.

“Walaupun sudah bertugas di klinik harian biasa, namun kadangkala disebabkan kekangan kakitangan , saya perlu juga turun padang untuk mengambil ujian saringan Covid-19 daripada pesakit di khemah Klinik Demam dengan berpakaian PPE lengkap.

“Meskipun saya sarat mengandung, tiada pengecualian untuk tidak menunaikan tanggungjawab sebagai doktor perubatan. Ini khidmat bakti saya kepada masyarakat,” katanya.

Bagi Dr Yap, sudah menjadi kebiasaan bagi beliau dan rakan sepasukannya di Unit Covid-19 untuk melakukan sanitasi serta membersihkan diri terlebih dahulu sebelum dan selepas bertugas.

“Sebagai seorang doktor yang sedang hamil, sudah pasti saya perlu bertanggungjawab memastikan saya mematuhi semua aspek SOP, selain membersihkan diri sekurang-kurangnya empat kali iaitu sebaik sahaja menanggalkan sut PPE.

“Kami sentiasa menganggap diri kami sebagai kontak rapat kerana setiap hari kami terdedah kepada pesakit yang datang mengambil ujian saringan Covid-19 dan ada antara mereka yang kes positif,” katanya.

Bercakap mengenai PPE, beliau berkata ianya sudah tentu amat mencabar terutama apabia cuaca panas dan ada kala terpaksa menempuh hujan lebat.

Namun sokongan dan semangat positif yang dihulurkan oleh rakan-rakan seperjuangan menghilangkan rasa tekanannya ketika menjalankan tugas.

“Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan kerja berbilang kaum yang ‘sporting’ dan sangat membantu, kadang kala terhibur juga kerana mereka pandai bergurau, dapat menghilangkan tekanan ketika bertugas,” katanya.

Kontak rapat pesakit Covid-19 ketika bersalin

Menyifatkan perjalanan untuk bergelar ibu sebagai sangat mencabar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Dr Yap berkata pengalamannya bersalin di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang merupakan antara yang sukar dilupakan.

“Saya masih ingat tiga hari sebelum bersalin, saya mengalami sakit kontraksi secara berterusan dan saya ingatkan ia hanyalah ‘Braxton Hicks’ (kontraksi tanpa sakit), maka saya masih lagi terus bertugas di klinik.

“Namun pada hari ketiga, perut saya berasa sakit sehingga tidak dapat memandu ke klinik. Ketika itu saya baru sedar akan tanda-tanda hendak bersalin dan suami saya segera membawa saya ke hospital swasta,” katanya.

Walaupun Dr Yap selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 29 Oktober lalu, namun pada hari ketiga selepas bersalin, beliau menerima panggilan daripada doktor O&G (Ahli Obstetrik dan Pakar Sakit Puan) bagi memaklumkan sesuatu yang amat memeranjatkan.

“Proses bersalin saya sangatlah lancar sehinggalah saya diberitahu oleh doktor O&G pada hari ketiga selepas bersalin bahawa doktor bius yang bertanggungjawab memberi saya ‘epidural’ disahkan positif Covid-19.

“Ketika itu saya masih dalam proses berpantang dan mempelajari untuk menyusu bayi. Saya terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19 selama tiga kali dalam sebulan dan dua minggu berkuarantin. Syukur selepas dua minggu keputusan ujian saya negatif,” katanya sambil menambah, pengalaman terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19 menjadikan beliau lebih faham dengan perasaan yang ditanggung oleh PUI.

Bagi ibu berpantang ketika kuarantin, ia sesuatu yang sangat mencabar dan tidak mudah kerana Dr Yap terpaksa menguruskan diri dan bayinya tanpa mendapat bantuan daripada suami dan anggota keluarganya.

“Bayangkan ibu berpantang biasanya ada suami ataupun anggota keluarga untuk membantu, namun keadaan saya sangat berbeza kerana tidak boleh ada kontak dengan sesiapa pun ketika kuarantin.

“Pada masa yang sama berpantang, segalanya perlu dilakukan sendirian. Namun saya bersyukur kerana mereka sangat memahami dan memberi sokongan moral kepada saya menerusi panggilan video,” katanya.

Tanggungjawab sebagai ibu ketika PKPB sangat mencabar kerana Dr Yap dan suaminya tidak mahu mengambil perkhidmatan pengasuh serta penjaga ketika sedang berpantang. Mereka berdua mempelajari petua serta panduan menguruskan bayi serta berpantang menerusi Youtube di samping mendapatkan tunjuk ajar anggota keluarga menerusi panggilan video.

“Anggota keluarga saya khususnya ibu dan kakak sulung saya banyak memberikan sokongan dan sentiasa memberi nasihat kepada saya untuk menjaga kesihatan ketika berpantang menerusi panggilan video.

“Walaupun kadang-kala kami berdua berasa letih namun sangat puas,” katanya.

Risiko petugas barisan hadapan

Memandangkan risiko tinggi untuk para petugas barisan hadapan, mereka perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga berbeza dengan keadaan sebelum wabak Covid-19.

“Jujur saya katakan kami semua mempunyai rasa takut dan risau, tambahan pula tugas kami di Unit Covid-19 sentiasa terdedah dengan sebarang kemungkinan.

“Jika dahulu semua pesakit boleh datang ke klinik untuk terus berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan, namun kini perlu ikut SOP yang ketat. Bagi mereka yang bergejala perlulah segera menjalani saringan Covid-19 sebelum dapat menerima rawatan,” katanya.

Menurut Dr Yap, petugas barisan hadapan juga perlu sentiasa bersikap positif dan optimis dalam memerangi Covid-19 kerana kini semakin ramai petugas kesihatan yang dijangkiti wabak itu.

“Ramai petugas kesihatan yang dijangkiti itu akibat sikap tidak jujur pesakit terhadap gejala mereka, sejarah perjalanan dan kontak rapat.

“Kami perlu sentiasa tabah, walaupun kadang-kala sangat letih dari segi fizikal dan mental, namun apatah daya demi tugas dan tanggungjawab, kami haruslah sentiasa bersedia dan bekerjasama dengan orang awam untuk sama-sama memerangi pandemik ini.

“Nasihat kami kepada orang awam, sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri selain memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal ketika berada di tempat awam, selain bersikap jujur terhadap gejala, sejarah perjalanan dan kontak rapat ketika mendapatkan rawatan di hospital dan klinik,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO saran hukum individu tipu status kesihatan Covid-19

SHAH ALAM, 28 DIS: Individu yang menyembunyikan status kesihatan Covid-19 sehingga menyebabkan penularan boleh dikenakan tindakan undang-undang, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata saranan itu dapat memastikan petugas barisan hadapan terhindar jangkitan memandangkan mereka merupakan kelompok penting berdepan virus itu.

“Barisan hadapan kita perlu dilindungi. Mungkin sebelum berjumpa doktor atau mendapat rawatan, pesakit perlu mengisi borang deklarasi tidak bergejala.

“Pengambilan suhu badan dan pertanyaan lisan sahaja tidak mencukupi. Individu yang berbohong boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu masyarakat agar tidak menipu petugas kesihatan dengan menyembunyikan status kesihatan mereka ketika datang mendapatkan rawatan atau untuk saringan Covid-19.

Ia susulan perkongsian seorang doktor menerusi Facebook mengenai tindakan pesakit menipu ketika menjalani saringan kesihatan menyebabkan beliau menjadi mangsa wabak.

Pada 22 Disember lalu, Dr Noor Hisham mendedahkan 1,880 petugas kesihatan disahkan positif Covid-19 menerusi saringan yang dibuat setakat 15 Disember.