SHAH ALAM, 18 APRIL: Saringan pandu lalu secara percuma mampu mengesan penularan Covid-19 dalam kalangan individu yang tiada gejala, kata doktor sukarelawan yang mengendalikan ujian tersebut.
Dr Nail Farhan Abu Kasim berkata pendekatan itu perlu berikutan ada orang awam yang positif virus tetapi tidak menunjukkan simptom masih berada dalam lingkungan masyarakat.
“Dengan cara ini, kita mendekati masyarakat dan mudahkan mereka beri kerjasama sekali gus dapat kesan pandemik ini.
“Jika diteruskan dan mendapat sambutan, matlamat memutuskan rantaian Covid-19 akan tercapai,” katanya kepada SelangorKini.
Ini kali kedua Dr Nail Farhan, bertugas di Hospital Tuanku Jaa’far, Seremban, menjadi sukarelawan selepas menyertai Saringan Komuniti di Hulu Langat minggu lalu.
“Walaupun bertugas di negeri lain, itu tidak menjadi halangan. Yang lebih penting tanggungjawab membantu mengurangkan penularan Covid-19,” katanya.
Beliau memaklumkan kira-kira 50 individu tampil membuat saringan hari ini dan jumlah itu dijangka bertambah esok.
Kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya, Selcare melaksanakan saringan sedemikian pada hari ini dan esok, khusus untuk warga emas dan individu yang ada gejala demam, selesema, batuk dan sakit tekak.
Pemeriksaan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 6 petang. Keputusan diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam.